Memeriksa komputer dan sistem operasi berkeupayaan 32bit atau 64bit

Dalam artikel kali ini kita akan membincangkan cara-cara untuk mengetahui jenis pemprosesan yang digunakan pada komputer anda dan adakah perkakas milik anda mampu untuk ditingkatkan kepada versi 64bits terutamanya sistem operasi (operating system).

Kelebihan dan apakah yang dimaksudkan dengan 64bits tidak akan dibincangkan di sini. Satu pautan rujukan kepada artikel sebelum ini dilampirkan dan anda boleh membaca artikel mengenainya di sana.

32 bit vs 64 bit: Perbezaan sistem dan kelebihan

Sistem 32bit versus 64bit

Sebagai permulaan, mari kita lihat terlebih dahulu asas kepada unit pemprosesan dan bagaimana boleh wujudnya teknologi ini.

Dalam sesebuah komputer, terdapat beberapa elemen yang penting untuk mewujudkan fungsi unit pemprosesan. Salah satunya adalah bas data (data bus). Ianya bukanlah sebuah bas seperti yang selalu kita nampak tetapi ia bertindak sebagai pembawa maklumat atau data (pengangkutan data).