Microsoft sememangnya sinonim dengan kebanyakan pengguna komputer di Malaysia, khususnya dan dunia secara umumnya melalui pemasaran dan penggunaan produk perisian mereka. Antara yang senantiasa menjadi tumpuan ramai adalah Microsoft Windows; perisian sistem operasi dan Microsoft Office; set perisian pengurusan kerja pejabat.



Perisian Microsoft Office 2016 Preview ini boleh dimuat turun secara percuma di laman web Microsoft Office.



Bagi pelanggan yang memiliki akaun Office 365 Professional atau Home boleh mula memuat turun secara percuma termasuk pengguna yang tidak memiliki langganan Office 365. Pengguna perlu membuang terlebih dahulu perisian Office 2013 kerana kedua-dua versi ini tidak boleh dijalankan secara serentak pada satu komputer.



Office 2016 dijangka akan dapat beroperasi pada pelantar Windows 7, 8 dan 10 merangkumi desktop dan tablet. Office 2016 secara teknikalnya bakal mempunyai dua corak pemasangan dan penggunaan; Office Desktop dan Office Universal. Office Desktop adalah pemasangan yang sekarang digunakan pada komputer-komputer desktop. Manakala Office Universal fokus kepada penggunaan sentuhan (touch) bagi peranti tablet dan telefon pintar. Paling penting, Office 2016 sepenuhnya akan berintegrasi dengan Windows 10.



Apa terbaru dalam Office 2016?



Seperti yang diperkenalkan dalam Office 2013, Microsoft masih mengekalkan konsep "cloud application" untuk versi yang terbaru ini. Integrasi antara aplikasi Office 2016 dan OneDrive menyediakan ruang penyimpanan dokumen di internet dan juga titik strategi untuk jualan produk.



Fungsi "Tell Me"



fungsi tell me



Tell Me adalah antara fungsi terbaru yang diperkenalkan dalam Office 2016 yang memberi capaian mudah untuk pengguna mencari butang fungsi di bahagian ribbon. Pengguna hanya perlu menaip fungsi butang yang diperlukan dan Tell Me akan menyenaraikan butang-butang yang berkaitan. Sebagai contoh, pengguna menaip "page break" pada ruangan ini, fungsi yang berkaitan dengan "page break" dan "page" akan disenaraikan. Ia dikatakan mampu untuk mempercepat proses carian dan penggunaan fungsi pada Microsoft Word, Excel, dan PowerPoint.



Jika anda masih ingat, pada Office 97 pernah diperkenalkan watak animasi yang dipanggil "Assistant"; yang mana dalam Office 2016 ianya dijenamakan semula untuk kelihatan moden dan elegan; tetapi menyediakan fungsi yang sama.



Sokongan DPI lebih tinggi



Paparan untuk fungsi pratonton (preview) kini menyokong DPI atau resolusi yang lebih tinggi untuk kedalaman fokus 250% dan 300%. Jadi dokumen anda akan kelihatan lebih jelas dan tajam pada peranti skrin lebar.



Tema "Colorful" yang baharu



tema lalai Office 2016



Office 2016 didatangkan dengan tema paparan terbaharu iaitu "Colorful" secara lalai yang sebelum ini ditetapkan kepada "White". Namun begitu, saya merasakan tiada perubahan drastik terhadap tema ini walaupun menggunakan nama "Colorful". Bagi saya paparan yang terbaik masih lagi Office 2007 yang lebih mudah dan menarik untuk dipandang. Sebagai tambahan untuk kebolehgunaan, satu tema tambahan yang baru iaitu Dark juga dimuatkan bagi pengguna yang mempunyai masalah mata terhadap sinaran yang kuat.



Orientasi gambar secara automatik



Office 2016 kini dimuatkan dengan kebijaksanaan untuk membuat pusingan gambar secara automatik berdasarkan kepada orientasi gambar sama ada "landscape" atau "portrait" setelah dimasukkan ke dalam dokumen. Walau bagaimanapun fungsi ini hanya untuk elemen gambar yang baru dimasukkan sahaja.



Outlook menyokong lampiran fail besar



Menerusi perkhidmatan OneDrive yang didatangkan bersama pakej Office 365, pengguna kini boleh melampirkan fail-fail yang bersaiz besar (mega) pada mana-mana emel. Selain itu, sekiranya fail tersebut telah sedia ada wujud di dalam OneDrive, ianya boleh terus dilampirkan kepada mana-mana emel. Bagi penerima emel yang tidak memiliki akaun OneDrive, satu pautan akan dijana secara automatik untuk membolehkan mereka memuat turun lampiran tersebut.



Outlook pada peranti mobil



Outlook 2016 kini boleh ditetapkan tempoh yang lebih singkat untuk proses sinkronasi antara peranti mobil dan pangkalan data Outlook sama ada 1, 3, 7 atau 14 hari. Fungsi ini sangat berguna kepada pengguna telefon pintar yang mempunyai ruang storan simpanan yang terhad dan kecil.



Masih terdapat banyak fungsi baharu yang dimuatkan dalam Office 2016. Namun sehingga versi stabil dilepaskan, kebanyakan fungsi ini tidak didatangkan dalam versi Preview. Namun yang boleh saya simpulkan, Office 2016 dilihat meletakkan keutamaan penambahbaikan untuk kumpulan industri dan perniagaan. Bagi pengguna di rumah atau persendirian, tiada fungsi baharu yang boleh dikatakan "ekstrim" jika kita bandingakan antara Office 2007, Office 2010 dan Office 2013.



Bagi pengguna yang melanggan Office 365, Microsoft menjanjikan kemas kini untuk versi Office yang terbaru ini akan diberikan secara percuma tanpa sebarang tambahan kos terhadap langganan sedia ada.

Penilaian: 
5
Your rating: None Average: 4.5 (2 votes)