Pengenalan

Sebelum ini mungkin anda biasa mendengar terma-terma seperti "Menu" dan "Block" dan pada pandangan saya terma ini adalah sangat biasa dan sekiranya anda pernah menggunakan mana-mana Sistem Pengurusan Kandungan yang lain, adalah satu kelebihan untuk memahaminya dengan lebih senang.

Jadi sebagai langkah pengenalan kepada "Content type", mungkin saya akan terangkan dengan lebih lanjut mengenainya dahulu kemudian barulah kita akan memasuki ruangan tutorial untuk menguruskannya.

Sekiranya diterjemahkan, akan membawa maksud "Jenis kandungan". Istilah atau terma ini mungkin agak sukar untuk difahami oleh golongan yang baru kepada Drupal dan tidak kurang kepada yang biasa menggunakan beberapa CMS sebelum ini.

Dalam Drupal, "Content type" digunakan untuk merujuk kepada input atau kemasukkan artikel, data atau maklumat berdasarkan kepada jenis pengelasan kandungan yang telah disediakan. Agak keliru bukan?

Contohnya, katakan anda mewujudkan satu ruangan atau seksyen "Blog". Untuk menghantar atau memasukkan satu blog yang baru, pengguna atau webmaster haruslah memilih jenis kandungan untuk blog. Semasa proses kemasukkan, jenis kandungan blog ini akan memaparkan ruangan borang atau "field form" yang khusus dan spesifik untuk blog.

Jika diwujudkan satu ruangan lagi katakan "Forum", pengguna atau webmaster perlu menggunakan jenis kandungan forum kerana elemen-elemen yang terdapat dalam jenis kandungan forum berlainan sama sekali dengan blog.

Dan selepas proses kemasukkan ke dalam pangkalan data, jika paparan seksyen blog dilihat, semua artikel yang dihantar melalui jenis kandungan blog sahaja akan dipanggil dan dipaparkan. Jenis kandungan yang lain akan diabaikan.

Jadi, dari penerangan di atas, jelas sekali bahawa Drupal menyediakan proses paparan dan pengurusan setiap jenis kandungan yang lebih jitu dan spesifik untuk setiap jenis. Jika dikembangkan, setiap tema atau templat untuk setiap jenis kandungan juga boleh diubah suai mengikut kemahuan dan kreativiti pembangun.

Dalam erti kata lain, templat untuk blog boleh direka berlainan sama sekali dengan forum dan inilah yang dikatakan seolah-olah pengguna akan melayari 2 laman web yang berbeza walaupun menggunakan satu pemasangan Drupal sahaja.

Senarai "Content type"

Pada pemasangan asal Drupal, terdapat hanya 2 jenis kandungan yang telah sediakan iaitu "Page" dan "Story". Ianya boleh diakses menerusi Administer  Create Content.

Drupal telah mengelaskan sekiranya artikel tersebut adalah statik atau tidak kerap dikemas kini, pengguna digalakkan untuk menggunakan "Page" manakala artikel yang selalu dikemas kini dan sering berubah-ubah, digalakkan untuk menggunakan "Story".

Namun, sekiranya anda membandingkan format input untuk kedua-dua jenis kandungan ini, tidak ada beza dan memang sama untuk kedua-duanya. Tetapi tujuan asal Drupal membuat sedemikian adalah untuk memberikan gambaran kepada pengguna baru bahawa kita boleh melakukan pengelasan untuk setiap jenis kandungan.

Contohnya, "Page" adalah kandungan yang statik, dan ia membenarkan kandungan jenis ini dikomen oleh pengguna. Manakala "Story" yang memaparkan artikel yang sering berubah-ubah seperti berita terbaru, aktiviti terkini tidak membenarkan pengguna untuk meninggalkan sebarang komen.

Jelas bahawa untuk setiap jenis kandungan boleh ditetapkan kebenaran untuk fungsi tertentu dan bukan terhad dari segi input kemasukkan maklumat atau reka bentuk templat sahaja.

Mencipta "Content type" yang baru

Mungkin inilah saat-saat yang dinantikan oleh semua pembaca tetapi beberapa info dan fakta yang penting perlu dititik berat terlebih dahulu sebelum kita bergerak ke artikel yang seterusnya. Dalam proses menghasilkan jenis kandungan yang baru, anda seharusnya mempunyai matlamat mengapa dan apa kriteria-kriteria yang membolehkan dia dibezakan dari jenis kandungan yang lain.

Kerana, penghasilan jenis kandungan yang terlalu banyak akan menyebabkan anda sebagai pembangun laman web akan keliru tujuan setiap satu jenis kandungan tersebut. Sekiranya kriteria dan matlamat anda hampir menyamai jenis kandungan yang sedia ada, cuba elakkan untuk menghasilkan yang baru.

Sebagai contoh, anda mahu menghasilkan satu jenis kandungan untuk kemasukkan berita terkini dan langsung tidak mempunyai kriteria lain seperti gambar sisipan atau apa sahaja, terus sahaja untuk gunakan "Story". Sebaliknya, anda mahukan jenis kandungan ini akan mempunyai pilihan untuk dimasukkan gambar sisipan (thumbnails), penulis sebenar, lokasi kejadian atau rujukan seharusnya kita menghasilkan satu jenis kandungan yang memang dikhaskan untuk berita terkini.

Penilaian: 
3
Average: 3 (2 votes)