Drupal 7 kini telah dipermudahkan bentuk dan cara penggunaannya. Bahagian ini akan mengumpulkan beberapa tutorial dalam penggunaan modul Drupal dalam membentuk dan membina satu sistem pengurusan kandungan yang lebih maju.

Modul dalam Drupal 7

Seperti sistem pengurusan kandungan yang lain, penggunaan modul tambahan adalah antara perkara yang biasa dimuatkan dalam fungsi asas Drupal. Ini bagi memberi ruang kepada komuniti Drupal untuk fokus kepada pembangunan sistem asas yang kebanyakannya digunakan dalam pembangunan laman web. Manakala fungsi-fungsi yang digunakan mengikut keperluan didatangkan menerusi pemasangan modul tambahan.

Komuniti Drupal akan memantau penggunaan dan keperluan modul-modul tambahan ini dari semasa ke semasa. Modul-modul tambahan yang hampir kebanyakan digunakan pada semua laman web berkemungkinan besar akan dimuatkan ke dalam Drupal core pada versi major yang terbaru.

Seperti dalam Drupal 8, modul Views telah diserap masuk sebagai satu enjin dalam teras kerangka sistem Drupal. Melalui fungsi Views, hampir kebanyakan paparan, pentadbiran, jadual data dan kandungan menggantikan kaedah hardcode dalam Drupal 7. Pengguna boleh mengubah, mengemas kini dan menetapkan konfigurasi tersendiri berbeza daripada yang dibekalkan semasa pemasangan Drupal yang sedia ada.

Pemilihan modul yang tepat

Anda perlu berhati-hati dalam menggunakan modul tambahan yang boleh diperoleh daripada laman rasmi Drupal. Bilangan modul yang dipasang terlalu banyak akan menyebabkan penggunaan memori pada sistem pelayan bertambah. Keadaan ini boleh mengakibatkan laman web mengalami masalah dari segi prestasi.

Penggunaan modul yang belum stabil (atau masih dalam versi development) boleh menyebabkan kerosakan kepada data sedia ada. Pastikan modul yang digunakan sudah mencapai tahap matang. Sekiranya fungsi yang diperlukan hanya wujud dalam versi development, sama ada anda perlu menunggu ianya dilepas atau gunakan atas risiko dan tanggungan anda sendiri.

Perlu diingatkan, kejayaan satu-satu perisian sumber terbuka bergantung kepada penglibatan komuniti. Jika anda mempunyai kemahiran menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan dalam pemantauan tiket, hulurkan sumbangan di komuniti tersebut. Anda juga boleh bertindak sebagai tester (penguji). Setiap penambahbaikan yang dicadangkan akan lebih pantas disahkan melalui maklum balas daripada pengguna. 

Penilaian: 
1
Average: 1 (1 vote)