Setelah anda berjaya untuk menghasilkan pangkalan data yang baru, anda boleh mula memasuki ruangan utama untuk PhpMyAdmin. Di sini terdapat beberapa fungsi yang perlu kita kenali terlebih dahulu sebelum anda melangkah ke tutorial yang selanjutnya.

Di ruangan laman utama PhpMyAdmin terdapat tab-tab operasi yang boleh kita gunakan untuk mengendalikan pangkalan data. Tab-tab operasi ini berada di bahagian paling atas di sebelah ruangan kanan.

Jika diperhatikan dengan betul-betul, anda akan mula mendapati bahawa tab operasi untuk "localhost" adalah berbeza sedikit dengan "live server". Perhatikan gambar di bawah ini:

http:/kripkornstudios.com.my/user/parasolx

Perhatikan bahawa di "Live Server", tab operasi untuk "Privileges" dan "Drop" tidak dipaparkan. Ini kerana kedua-dua fungsi ini perlu dilakukan menerusi MySQL Management pada ruangan DirectAdmin atau CPanel. Dalam ruangan tutorial sebelum ini sudah saya nyatakan mengapa fungsi-fungsi ini diasingkan dari PhpMyAdmin.

Jadi, kita hanya akan menekankan kepada 5 fungsi tab operasi yang terdapat di bahagian kedua-dua keadaan ini.

Tab-tab Operasi

  1. Structure: merupakan ruangan untuk paparan struktur dan senarai "tables" dan data yang terdapat dalam pangkalan data tertentu. Di ruangan ini kita boleh melihat segala bentuk senarai data-data yang terkandung di dalam pangkalan data
  2. SQL: merupakan satu ruangan untuk kita menjalankan operasi atau aturcara SQL secara manual. Ruangan ini kebiasannya digunakan oleh pengguna yang sudah mahir dengan aturcara SQL atau beberapa pemasangan modul yang terpaksa menjalankan aturcara SQL yang diberikan secara manual.
  3. Search: tab ini membolehkan kita untuk mencari data atau ruangan tertentu dalam pangkalan data. Kebiasannya ini digunakan untuk pangkalan data yang terlalu besar dan mempunyai maklumat yang terlalu banyak.
  4. Query: ruangan ini pula lebih kurang sama dengan tab operasi "SQL" tetapi cara penggunaannya yang lebih tinggi dan kompleks. Untuk pengguna baru saya tidak akan menyentuh dalam tutorial
  5. Export: tab operasi untuk mengeksport atau memuat turun pangkalan data dalam bentuk pakej yang disediakan. Biasanya ini digunakan jika kita ingin memindahkan laman web dari "localhost" ke "live server" dan juga sebaliknya.
  6. Import: tab operasi untuk mengimport atau memasukkan maklumat pangkalan data yang telah dieksport sebelum ini ke dalam pangkalan data yang baru. Proses ini perlu dilakukan dengan memuat naik atau menggunakan data-data yang telah dipakejkan menggunakan perisian tertentu yang boleh dibaca semula oleh PhpMyAdmin semasa proses import dilakukan.
  7. Operations: tab operasi ini memaparkan beberapa fungsi tambahan lain seperti menamakan semula dan membuat salinan sepenuhnya pangkalan data tertentu ke pangkalan data yang lain.
Penilaian: 
Average: 5 (1 vote)