Pengenalan

Dalam tutorial untuk Tahap 5 ini, kita akan mempelajari cara-cara untuk pemasangan MODX atau modifikasi kepada sistem asal phpBB 3 bagi menambah fungsi yang sedia ada kepada fungsi tambahan. Pada tahap ini, saya menganggapkan anda sudah memahami sistem phpBB secara kasar kerana di bahagian ini merupakan tahap paling tinggi.

Setiap proses modifikasi yang akan dilakukan memerlukan pengetahuan dalam PHP, CSS dan HTML yang kuat. Sekiranya anda belum mencapai tahap ini, sila lakukan sedikit rujukan pada ruangan dan tutorial yang telah disediakan. Kesilapan yang tersangat kecil pada proses modifikasi boleh mengakibatkan forum anda tidak berfungsi secara total.

Oleh itu, segala tutorial pada tahap 5 adalah tutorial kronik dan fokus yang tinggi perlu diberikan. Setiap arahan yang diberikan perlu diikuti dengan tepat dan jelas. Setiap arahan juga perlu dituruti satu per satu dan elakkan dari melangkau setiap langkah sekiranya terdapat masalah yang berlaku.

Sistem direktori

Sebelum memasuki tutorial untuk phpBB ini, terlebih dahulu kita perlu mengenal sistem direktori phpBB kerana proses modifikasi ini melibatkan pengubahsuaian beberapa fail dan bukan hanya satu fail sahaja. Kebiasaanya dengan sistem direktori akan memudahkan kita nanti.

Berikut merupakan senarai fail-fail dan direktori yang dimasukkan pada pemasangan phpBB3 yang asal.

Only local images are allowed.

Setiap direktori atau fail pelipat (folder) mengandungi fail-fail yang mempunyai fungsi tertentu. Oleh itu sekiranya anda dapat menghafal setiap tujuan direktori memudahkan proses modifikasi dilakukan. Berikut dinyatakan dengan mendalam kegunaan setiap fail pelipat tersebut:

  1. adm - mengandungi fail-fail administrasi phpBB dimana ianya akan diakses menerusi pintu belakang (backend)
  2. cache - mengandungi fail-fail sementara yang dibina oleh sistem phpBB bagi meningkatkan kelajuan laman dibuka. Sekiranya terdapat masalah laman menjadi putih (white screen), cuba hapuskan kesemua fail yang terkandung di dalamnya secara manual kecuali dua fail penting iaitu ".htaccess" dan "index.html"
  3. docs - mengandungi dokumentasi dan manual untuk phpBB3
  4. download - menyimpan fail-fail yang dilampirkan bersama pos (attachment). Sekiranya kita menetapkan muat turun secara terkawal (secure downloading) maka fail pelipat ini hanya boleh diakses dan proses muat turun boleh dilakukan oleh pengguna yang mempunyai IP tertentu sahaja.
  5. files - direktori ini menyimpan fail-fail yang akan digunakan untuk sistem phpBB3 seperti ikon forum atau apa jua yang bakal digunakan. Direktori ini jarang disentuh, jadi boleh diabaikan TETAPI jangan dibuang.
  6. images - menyimpan fail-fail gambar yang digunakan oleh sistem phpBB3 seperti "smilies", "ranks (pangkat)" dan "topic icon". Dalam tutorial sebelum ini ada menyentuh mengenai topik ikon dan menambahkan "smilies", seharusnya direktori ini dilihat dan diakses.
  7. includes - direktori ini adalah yang paling penting. Mengandungi fail-fail yang menyimpan semua fungsi arahan untuk sistem phpBB3. Selalunya direktori ini akan disentuh dalam proses modifikasi. Kesilapan dalam mengubahsuai aturcara fail-fail dalam direktori ini menjadikan forum anda terus tidak berfungsi.
  8. install - direktori ini hanya muncul pada proses pemasangan phpBB3. Setelah selesai, sama ada anda menamakan semula atau membuangnya terus.
  9. language - mengandungi fail-fail untuk pilihan bahasa pengantar forum.
  10. store - direktori ini jarang disentuh. Kebiasaanya mengandungi fail-fail untuk simpanan jangka masa panjang seperti fail salinan pendua (backup) sistem.
  11. styles - direktori juga tidak kurang penting. Ianya mengandungi ke semua fail-fail tema atau templat yang membentuk dan memberikan paparan kepada forum.

Manakala pada direktori pangkal (root) terdapat beberapa fail-fail yang diperlukan untuk proses modifikasi. Setiap fail diberikan nama yang berkaitan dengan fungsinya bagi memudahkan kita untuk mengenal pasti tujuan diwujudkan fail tersebut.

Sebagai contohnya, fail "viewforum.php" mengandungi aturcara fungsi-fungsi yang diakan digunakan semasa paparan senarai forum-forum manakala "viewtopic.php" mengandungi kod yang digunakan semasa paparan topik-topik. Jadi sekiranya modifikasi yang akan dilakukan berkaitan dengan paparan semasa topik, maka hanya fail "viewtopic.php" sahaja terlibat. Anda tidak perlu menyentuh fail-fail lain kecuali diminta dalam arahan tersebut.

Fail-fail lain mempunyai fungsi tersendiri seperti:

  1. .htaccess - mengawal kebenaran dan tetapan pelayan yang diguna pakai oleh forum
  2. common.php - mengandungi kod aturcara yang digunakan setiap masa oleh phpBB3 seperti profail pengguna, format tapisan dan lain-lain
  3. config.php - mengandungi maklumat tetapan pangkalan data yang disambungkan kepada forum
  4. cron.php - pembantu kepada forum bagi menjalankan proses mengemas kini dan penyelenggaraan sistem forum
  5. faq.php - bertugas untuk menyediakan paparan untuk soalan lazim forum
  6. feed.php - menyediakan servis suapan RSS untuk keseluruhan forum
  7. index.php - bertugas menyimpan kod aturcara untuk paparan papan indeks (laman utama forum)
  8. mcp.php - fail yang mengawal ruangan Moderator
  9. memberlist.php - mengawal paparan penyenaraian ke semua ahli-ahli berdaftar dalam forum
  10. posting.php - berfungsi semasa proses kemasukkan data-data ke dalam pangkalan data. Fail ini akan menapis kod-kod aturcara berbahaya yang mungkin bertujuan untuk menggodam forum
  11. report.php - menyediakan laporan untuk sebarang ralat atau informasi
  12. search.php - bertanggungjawab dalam tugasan carian seluruh forum
  13. style.php - mengandungi kod-kod asas mengawal tema/templat forum
  14. ucp.php - bertanggungjawab mengawal ruangan untuk pengguna
  15. viewonline.php - memproses dan memapar kehadiran pelawat ke forum
Penilaian: 
5
Average: 4.5 (2 votes)