Selaras dengan kemajuan teknologi internet, peningkatan proses permindahan data dan kepelbagaian bahasa pengaturcaraan pelbagai konsep dan idea-idea baru diperkenalkan bagi membolehkan setiap kemajuan diselaraskan dalam semua aspek.

Begitu juga dengan konsep laman web. Pertama kali laman web diwujudkan, konsep pembangunan yang lebih kepada satu hala diwujudkan atau lebih mudah dikenali sebagai Web 1.0. Apabila wujudnya kepelbagaian aturcara, peningkatan sistem klien dan pelayan, konsep Web 2.0 diperkenalkan.

Dan yang terbaru, Web 3.0 bakal diwujudkan. Sekarang konsep Web 2.0 secara puratanya digunakan hampir kesemua laman yang ternama seperti Facebook, Twitter dan Youtube.

Web 1.0 dan Web 2.0

Berbicara mengenai konsep web ini, pengguna yang baru akan selalu keliru untuk mengenali sesuatu laman web menggunakan konsep yang mana. Penerangan dan analogi ringkas boleh diibaratkan untuk mewakili maksud sebenar konsep-konsep ini.

Web 1.0 boleh diibaratkan sebagai sebuah perpustakaan. Pengguna hanya datang untuk mendapatkan informasi dan data-data darinya dan proses ini melibatkan perjalanan satu hala, iaitu laman web kepada pengguna.

Web 2.0 adalah lebih luas konsepnya. Ianya diibaratkan sebagai satu tempat untuk perkongsian maklumat yang mana pengguna datang berkongsi maklumat (memberi) dan menerima (mendapatkan) maklumat dari tempat tersebut. Ini bermakna dalam konsep Web 2.0, berlaku aktiviti dua hala atau lebih.

Web 3.0: Konsep terbaru diperkenalkan

Tidak kurang dari empat tahun Web 2.0 diperkenalkan, pakar internet telah mengemukan satu cadangan dan konsep Web 3.0 bakal dilancarkan. Apa itu Web 3.0? Apa perbezaannya? Apa fokusnya?

Dalam konsep Web 2.0, berlaku perkongsian maklumat yang dapat kita lihat dalam contoh laman Facebook. Berlaku proses perkongsian. Dalam konsep Web 3.0, aktiviti ini menjadi lebih spesifik atau lebih senang difahami laman tersebut menjadi pembantu peribadi setiap pengguna.

Dalam erti kata lain, laman yang berkonsepkan Web 3.0 menjadi lebih pintar, memahami sifat dan kemahuan pengguna secara lebih spesifik. Web 3.0 bakal menjanjikan satu kemudahan pengguna dan mengecilkan skop sesuatu perkara berbanding konsep yang digunakan sekarang.

Asas kepada konsep Web 3.0

Contoh diambil pada laman web Agen Carian, seperti Google. Setiap frasa atau kata kunci carian yang ditulis oleh pengguna akan dipaparkan setiap senarai keputusan berdasarkan kepada relevansi dan kemunculan kata kunci atau frasa dalam setiap laman.

Ini adalah antara kronologi perbandingan antara ketiga-tiga konsep sekiranya anda menggunakan frasa carian seperti ini: "pelancongan tepi pantai dengan budjet RM1000".

Kronologi Web 1.0

Senarai carian akan dipaparkan sekiranya terdapat laman web yang mempunyai tajuk hampir sama dengan frasa carian. Kebiasaanya keputusan sifar akan dipaparkan sekiranya melebihi tiga patah perkataan.

Kronologi Web 2.0

Agen Carian akan menyenarai hampir semua laman yang mempunyai kata kunci untuk setiap patah perkataan frasa dan keputusan carian yang mempunyai bilangan kata kunci terbanyak, paling hampir dan mempunyai relevansi kepada frasa carian akan dipaparkan.

Hasil keputusan tersangat banyak. Pengguna terpaksa mengunjungi satu per satu laman dan sekiranya hasil penemuan melibatkan 10 keputusan, pengguna terpaksa membuat perbandingan. Hasil keputusan mungkin mengandungi:

  1. tempat-tempat pelancangon sahaja
  2. tempat pelancongan di tepi pantai sahaja
  3. budjet atau kos tempat pelancongan sahaja
  4. budjet atau kos yang mempunyai nilai RM1000
  5. merangkumi ke semua elemen di atas

Kronologi Web 3.0

Proses pencarian dan penyenaraian sama seperti dalam Web 2.0, tetapi hasil keputusan dilakukan perbandingan, hanya merangkumi keputusan yang mempunyai nilai budget di bawah RM1000 dan hampir kesemua keputusan melibatkan pelancongan di tepi pantai sahaja.

Selain itu, keputusan carian juga menyenaraikan hotel-hotel atau tempat penginapan yang sesuai dan merangkumi jumlah budjet yang dinyatakan. Hasil carian dikecilkan skop dengan mengambil kira tempat lokasi carian dan hasil-hasil carian pengguna sebelum ini (browser history).

Kematangan Web 3.0

Jika dilihat pada perbandingan kronologi untuk setiap konsep di atas, dapat disimpulakan bahawa Web 3.0 mempunyai tahap kematangan yang lebih tinggi. Konsep tersebut bukan sahaja lebih fokus kepada satu-satu elemen tetapi lebih kepada "Pembantu peribadi".

Web 3.0 memahami dan mempelajari corak penggunaan setiap pengguna dan dijadikan satu profil sebagai rujukan apabila sebarang perkara dijalankan. Teknologi ini memahami dan mendalami keperluan anda dan bukan sekadar memberikan pilihan kepada pengguna.

Dalam Web 2.0, setiap proses carian bergantung kepada "kata kunci" dan relevansi kandungan laman tersebut. Namun begitu Agen Carian tidak memahami sepenuhnya isi kandungan laman yang disenaraikan. Ini menyebabkan pengguna perlu membuat perbandingan, keputusan dan pemilihan terhadap setiap keputusan carian.

Hala tuju Web 3.0

Walaupun konsep ini telah dibincangkan dengan hangat tetapi masih kabur terhadap hala tuju dan cara pelaksanaannya. Dengan kepelbagaian bahasa aturcara sekarang, ianya agak mustahil untuk dilaksanakan.

Sama ada satu bahasa pengaturcaraan yang baru diperkenalkan atau menambah beberapa elemen dan atribut dalam aturcara sedia ada masih dipertimbangkan dan dibahaskan. Pelbagai sumber dan idea diketengahkan bagi membolehkan konsep Web 3.0 diwujudkan tanpa sebarang kekeliruan dan boleh dibangunkan dengan lebih mudah.

Sekiranya Facebook, Twitter dan Youtube mampu mengendalikan konsep Web 2.0 dan menjadi ketagihan pengguna, Google dan Yahoo! menjadi sumber rujukan pencarian, kehadiran Web 3.0 bakal mengegarkan satu dunia internet yang mungkin akan melahirkan satu laman yang pertama kali menggunakan konsep ini.

Artikel: 
Penilaian: 
3
Your rating: None Average: 2.5 (2 votes)