SEO mempunyai teknik dan cara yang banyak. Ianya berbeza dari pendapat dari seorang pembangun laman web kepada pembangun yang lain. Ini kerana mereka masing-masing mempunyai pengalaman dan tips-tips yang telah dikaji, dibuat dan memperoleh hasil yang berbeza. Dalam teknik SEO tidak terdapat cara mudah tetapi terdapat cara yang terbaik untuk mengekalkan konsistensinya pada laman web kita.

Berikut adalah himpunan sepuluh tips, yang secara umumnya boleh diamalkan dan dijadikan panduan berdasarkan perspektif atau sudut pandangan pereka laman web dalam pembinaan satu-satu laman.

  1. Tingkat kelajuan laman web anda. Seperti dalam artikel sebelum ini, Google pada hari sangat menekankan aspek ini kerana kajian menunjukkan laman web yang ringan ternyata berjaya memberi peningkatan dalam kepenggunaan atau user experience. Secara kronologinya, apabila laman web kita disenaraikan dalam senarai tertinggi di laman carian, kelembapan dalam proses pemaparan laman itu sendiri akan menyebabkan pengguna berpatah balik (bounce back) ke laman carian untuk melihat laman web seterusnya. Inilah yang dikatakan "bounce rate" yang tinggi menyebabkan kehilangan pelawat. Periksa kadar lantunan anda kerana ianya berkait dengan prestasi laman web. Kadar yang tinggi berkemungkinan disebabkan oleh laman yang terlalu perlahan untuk siap dipaparkan.
     
  2. Sekiranya anda menggunakan perisian atau aplikasi web dari sumber terbuka seperti Drupal, senantiasa untuk memeriksa versi keluaran dan bandingkan dengan versi yang anda gunakan. Kebiasaanya sistem aplikasi kini dilengkapkan dengan modul atau fungsi tambahan untuk memaklumkan kepada pentadbir keluaran versi yang terkini dan proses ini dilakukan secara automatik. Tujuannya adalah bagi memastikan laman web kita sentiasa berada dalam lingkungan yang paling selamat untuk mengelak daripada digodam. Laman web yang kerap digodam akan menyebabkan reputasi jatuh agak merundum dan memberi kesan negatif kepada senarai carian dalam Google.
     
  3. Komplian dengan W3C. Jangan memandang rendah kepada perkara ini kerana komplian kepada W3C dapat memastikan laman web kita dibina dengan kod pengaturcaraan bertaraf piawai. Sesuatu produk atau aplikasi yang mengikut garis panduan standard akan diklasifkasikan sebagai aplikasi standard. Sebagai bonus, Google melihat web tersebut mempunyai profil yang lebih tinggi.
     
  4. Penting untuk memastikan setiap komen dipantau (moderate). Mengapa? Bagi mengelak berlakunya limpahan komen yang berbau spam. Jika dilihat dari sudut keaktifan satu-satu halaman, limpahan dengan komen-komen akan membantu memastikan ia sentiasa menerima kemas kini walaupun artikel telah ditulis bertahun-tahun lamanya. Namun, kehadiran komen yang dikategorikan sebagai spam ini menyebabkan isi kandungan keseluruhan halaman bercampur baur dengan topik-topik dan kata kunci yang lain. Oleh itu, amat penting untuk kita luangkan beberapa minit bagi memantau dan melakukan imbasan terhadap semua komen yang dihantar agar ianya selari dengan tajuk artikel yang ditulis. Terdapat beberapa cara untuk menapis komen ini secara automatik seperti penggunaan Captcha atau perkhidmatan percuma Mollom -- yang menilai setiap komen dihantar berdasarkan kepada relevansi.
     
  5. Semasa proses pembikinan bentuk paparan laman, kurangkan atau sebolehnya elakkan penggunaan teks dalam bentuk gambar. Jika keadaan terpaksa, pastikan setiap elemen gambar mempunyai atribut alt bagi membenarkan agen carian memahami keseluruhan penceritaan elemen tersebut. Berdasarkan kepada Google, teknologi OCR (Optical Character Recognition) mereka masih ditahap mentah dan belum mencapai tahap kematangan yang optimum.
     
  6. Penamaan atau penjenamaan semula struktur URL (rewriting URL), selalu gunakan sengkang (dash, -) berbanding underscore (_) untuk mengasingkan dan menerangkan dua patah perkataan. Sebagai contoh, example.com/kripkorn-studios adalah lebih baik berbanding example.com/kripkorn_studios. Kerana Google melihat penggunaan underscore adalah khas kepada elemen media/fail seperti gambar dan video, menyebabkan Google mungkin tersalah tafsir sama ada ianya adalah pautan URL atau elemen media.
  7. Amalkan penyusunan kandungan secara lebih teratur dan sistematik dengan menekankan isi penting pada bahagian paling atas agar informasi yang ingin disampaikan kelihatan pada skrin pengguna tanpa memerlukan mereka untuk skrol ke bawah ATAU boleh menggunakan konsep flip pyramid iaitu masukkan kesimpulan terlebih dahulu dan diikuti dengan pendahulan pada bahagian paling bawah bagi memberi kelainan kepada corak pembacaan.
     
  8. Salah satu kunci terbesar bagi mengekalkan populariti SEO adalah penyediaan kandungan atau artikel yang relevan. Bersama itu, masukkan pautan-pautan ke artikel yang mempunyai kandungan atau berkaitan dengan topik yang dibincangkan di satu sudut rekaan struktur laman web. Kita boleh ambil contoh laman Youtube.com yang akan menyenaraikan video-video yang berkait rapat dengan video yang sedang ditonton oleh pengguna. Sekiranya anda mendapati conversion rate -- kadar pertukaran antara jumlah pengguna dan tempoh masa yang dihabiskan pada satu halaman -- tips ini dapat membantu untuk memanjangkan tempoh seorang pengguna berhenti dan kekal di laman web kita. Tips kelapan ini adalah tambahan kepada tips ketujuh di atas.
     
  9. Hasilkan navigasi menu yang ringkas. Jangan beranggapan pengguna sentiasa mempunyai masa untuk menjelajah satu per satu pautan yang kita sediakan. Letakkan diri kita sebagai pengguna pada laman web sendiri, adakah senang untuk kita mencari satu-satu maklumat? Ini bagi mengatasi mereka tidak tercari-cari lokasi atau kedudukan produk/artikel/kandungan yang relevan kepada kemahuan pengguna.
     
  10. Dan akhirnya adalah pemilihan kata kunci. Ianya perlu dijalankan secara lebih tenang, tidak tergopoh gapah dan sentiasa membuat kajian terhadap pemilihan kata kunci yang terbaik. Kesalahan dalam memilih kata kunci yang tidak berkait langsung dengan artikel ditulis boleh dianggap sebagai pautan palsu dan kelihatan seperti komen spam.

Inilah serba sedikit panduan yang diringkas berdasarkan kepada perspektif pembinaan laman web. Seperti diberitahu pada peringkat awal, panduan ini bukanlah satu tiket untuk memastikan anda akan dapat menguasai sepenuhnya teknik SEO sebaliknya ia adalah kajian minoriti dan kebanyakan menunjukkan prestasi dan hasil yang memuaskan.

Artikel: 
Penilaian: 
Your rating: None Average: 4 (1 vote)