Secara amnya, tag "Heading" dalam HTML digunakan untuk menerangkan tajuk untuk satu-satu artikel atau kandungan. Kini, kehadiran kod aturcara yang terbaru iaitu CSS, membolehkan kita mekonfigurasikan paparan satu-satu frasa menjadi sama seperti heading. Dalam konteks SEO, heading memainkan peranan yang besar dalam membentuk struktur satu-satu dokumen.

Heading terdiri daripada enam variasi yang dinamakan dari <h1> sehingga <h6>. Penggunaannya secara hierraki dan berturutan membolehkan satu isi utama difokuskan dan dipecahkan kepada beberapa isi-isi kecil di bawahnya. Keadaan ini secara tidak langsung memetakan satu-satu kandungan secara lebih teratur bagi memudahkan pengguna membaca dan memahami satu-satu tajuk.

Ianya bukan sahaja memberi kesan kepada pembaca tetapi juga kepada Agen Carian. Penggunaan heading yang betul membolehkan mereka mengindeks keseluruhan kandungan lebih pantas dan tersusun. Oleh itu, bagi mendapatkan tahap SEO yang lebih sempurna dan tinggi, kita perlu pandai dan bijak dalam memanipulasikan heading.

Klasifikasi Heading 1 khas kepada tajuk kandungan

Peringkat pertama dalam heading bermula dengan <h1> yang selalunya dikhaskan kepada tajuk utama satu-satu kandungan. Secara teorinya, <h1> PERLU wujud hanya SEKALI sahaja dalam satu-satu kandungan.

Penggunaannya yang lebih daripada satu akan menyebabkan struktur dokumen menjadi berterabur. Agen Carian akan mengindeks <h1> terlebih dahulu kemudian diikuti dengan <h2> dan seterusnya. Apabila wujudnya lebih daripada satu <h1>, proses pengindeksan akan terhenti dan halaman tersebut diklassifikasikan sebagai tidak berkualiti.

Oleh itu, pastikan <h1> hanya dikhaskan kepada tajuk utama untuk kandungan. Untuk halaman utama (front page), yang menyenaraikan kandungan-kandungan yang dihantar tidak menggunakan <h1> untuk tajuk. Gantikannya dengan <h2>. Khaskan <h1> kepada tajuk atau nama laman website anda.

Laman yang mempunyai seksyen atau blok

Konsep Web 2.0 hari ini lebih menekankan kepada capaian maklumat yang mudah dengan mewujudkan seksyen-seksyen kecil pada sisi atau ruangan tertentu setiap dokumen yang juga dipanggil sebagai blok. Blok-blok ini mempunyai nama bagi menerangkan kandungan yang dimuatkan di dalamnya.

Gunakan <h2> untuk tajuk setiap blok tersebut. Sungguhpun ianya merupakan tajuk utama bagi kandungan sisi kecil, tidak bermakna anda perlu menggunakan <h1> kerana kandungan sisi diiktirafkan sebagai maklumat tambahan (bukan maklumat utama selain kandungan utama).

Prinsip ini tidak menghalang anda dari menggunakan tag <h3> atau <h4> sebagai tajuk blok namun penggunaannya akan menyebabkan elemen ini dianggapkan tidak penting. Fungsi utama mewujudkan kandungan sisi adalah untuk memandu, memberi maklumat tambahan, pengiklanan atau capaian pantas untuk pautan ke maklumat lain kepada pengguna. Sekiranya ianya dianggap "TIDAK" penting berdasarkan penggunaan tag heading selain <h2>, anda akan kehilangan peluang untuk Agen Carian mengunjungi halaman-halaman yang lain.

Penekanan kepada tajuk-tajuk kecil di bawah tajuk utama

Seperti yang diterangkan dalam prinsip yang pertama di atas, <h1> perlu dikhaskan kepada tajuk kandungan dan perlu wujud sekali sahaja. Apabila anda ingin menerangkan atau memecahkan tajuk utama ini kepada beberapa tajuk kecil yang lain, gunakan tag <h2>, <h3> dan seterusnya.

Pastikan turutan atau keutamaan tag heading mengikut jujukan penomboran yang betul. Elakkan dari melompat turutan ini secara drastik sehingga membunuh struktur kandungan sepatutnya. Sebagai contoh:

<h1>Tajuk utama
» <h2>Tajuk kecil 1
  » <h4>Sub tajuk kecil 1
    » <h2>Sub-sub tajuk kecil 1

» <h4>Tajuk kecil 2
  » <h5>Sub tajuk kecil 2

Contoh penggunaan heading di atas menyebabkan kekeliruan bukan sahaja kepada pengguna tetapi Agen Carian. Turutan isi kandungan tidak dapat dibezakan dan isi serta tajuk kandungan yang ingin diterangkan tidak jelas. Apabila kita ingin menerangkan isi kecil di bawah tajuk utama seharusnya ianya mempunyai peringkat atau heading sama.

Dan sekiranya ingin membicarakan beberapa tajuk kecil di bawah pecahan tadi, penggunaan heading perlu ditingkatkan peringkatkan ke satu tahap sahaja (bukan perlu langkau dari H2 terus kepada H4). Keadaan ini akan mengakibatkan Agen Carian "berfikir" seolah-olah isi penting di tengah-tengah (H3) tidak wujud atau tidak dapat diindeks. Ia kemudiannya akan mencetuskan satu maklum balas "ralat" pada dokumen. Ralat (yang sebenarnya tidak wujud) ini akan merendahkan tahap SEO laman anda sekiranya ianya berterusan dilaporkan secara tidak langsung.

Bagi mendapatkan struktur dokumen yang lebih sempurna, keadaan di atas sepatutnya diperbetulkan seperti ini:

<h1>Tajuk utama
» <h2>Tajuk kecil 1
  » <h3>Sub tajuk kecil 1
    » <h4>Sub-sub tajuk kecil 1

» <h2>Tajuk kecil 2
  » <h3>Sub tajuk kecil 2

Tajuk halaman utama menggunakan elemen gambar menggantikan teks

Ini adalah antara isu yang sering diperdebatkan. Sebagai seorang pereka laman web, tanggapan mereka lebih kepada penggunaan elemen gambar. Pembangunan sistem (web development) lebih kepada penstrukturan dan penulisan kod yang lebih baik. Pertembungan citarasa antara pereka (designer) dan pembangun (developer) menjadikan isu dan teknik SEO ini lebih sukar dilakukan walaupun terdapat cara untuk mendapat kepuasan kedua-dua belah pihak.

Hari ini dapat kita lihat bagi halaman utama, penggunaan elemen gambar (seperti di Kripkorn Studios) sebagai tajuk, logo atau nama halaman utama menjadi satu kebiasaan dan kemestian. Sekiranya elemen ini digantikan atau disokong dengan heading (H1) akan menyebabkan paparan menjadi buruk -- berlakunya duplikasi untuk tajuk halaman (gambar dan teks).

Sungguhpun elemen gambar menyokong penggunaan atribut title dan alt sebagai medium menerangkan maksud gambar kepada Agen Carian, tetapi keutamaan lebih diberikan kepada <h1> berbanding <img>. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini kita perlu gunakan kedua-duanya sekali tetapi hanya satu dipaparkan.

Kepada pengunjung/pembaca, elemen gambar akan ditunjukkan manakala kepada Agen Carian elemen H1 akan diindeks. Untuk mencapainya kita perlu menggunakan bantuan daripada CSS. Katakan kod untuk bahagian tajuk halaman adalah seperti berikut:

<h1>Kripkorn Studios, Komuniti Drupal dan phpBB Malaysia</h1>
<img src="https://www.drupalnote.my/images/kripkorn-studios-logo.png" alt="Kripkorn Studios, Komuniti Drupal dan phpBB Malaysia"/>

Versi CSS2 membolehkan satu-satu elemen tersebut disembunyikan daripada dipaparkan kepada pengunjung tetapi ianya tetap wujud menerusi kod HTML yang membina. Atribut stail "display" mengawal fungsi paparan satu-satu elemen. Dengan kod HTML yang sama, kita tambahkan elemen CSS seperti berikut:

<h1 style="display: none">Kripkorn Studios, Komuniti Drupal dan phpBB Malaysia</h1>
<img src="https://www.drupalnote.my/images/kripkorn-studios-logo.png" alt="Kripkorn Studios, Komuniti Drupal dan phpBB Malaysia"/>

Apabila dipaparkan kepada pengunjung, mereka hanya akan nampak elemen gambar sahaja sebaliknya jika ditukarkan kepada mod penglihatan sebagai Agen Carian, H1 akan dipaparkan terlebih dahulu sebelum elemen gambar.

Artikel: 
Penilaian: 
1
Your rating: None Average: 1 (1 vote)