Sebenarnya, penggunaan atau rekaan bentuk laman yang bergrafik tinggi dan penuh bukanlah merupakan ciri-ciri sebenar Web 2.0. Ia lebih ke arah fungsi laman itu sendiri yang jauh berbeza berbanding Web 1.0. Namun buat masa sekarang, kita ramai pembangun laman berkejar-kejar untuk mendapat dan menghasilkan antara muka yang unik, cantik dan penuh dengan grafik. Kemahuan ini ada keuntungan dan kerugian.

Bagi konsep "first impression" atau tanggapan awal persembahan laman yang menarik merupakan kunci utama untuk menarik trafik. Tetapi anda perlu berwaspada untuk golongan pengunjung tetap. Laman jenis korporat atau jualan tidak memberi kesan yang banyak tetapi untuk jenis jaringan sosial, komuniti, forum malahan blog perlu diberi perhatian. Penggunaan elemen gambar yang terlalu banyak boleh memudaratkan laman anda.

Kemudaratan yang mungkin akan berlaku

Membuang masa anda

Kunci utama untuk meraih trafik ke laman adalah kandungan di samping teknik SEO yang berkesan. Apabila kita terlalu fokus untuk menghasilkan antara muka yang menarik, sebenarnya kita membuang masa. Pembinaan laman yang boleh dikatakan menarik memerlukan idea, perahan keringat dan ruang masa yang lebih. Tapi tidak bermakna kita langsung tidak menitikberatkan hal ini. Pelbagai konsep atau tema terkini seperti "clean concept" atau "framework concept" boleh dijadikan panduan utama. Sungguhpun terdapat perkhidmatan jualan antara muka yang boleh dibeli dengan harga tertentu tetapi adalah lebih baik ia digunakan untuk menanggung perbelanjaan pengehosan web dan domain laman.

Bayaran dan kos binaan yang tinggi

Sudah tentu, bagi golongan baru yang tidak mempunyai asas, anda boleh mengupah golongan profesional membina antara muka. Dari segi bayaran, mungkin sedikit tinggi kerana mereka perlu menumpukan dan fokus kepada keperluan dan keinginan anda. Adalah lebih mudah sekiranya konsep dan bentuk rekaan yang diharapkan bercirikan kemas, licin dan bersih berbanding rekaan penuh bergrafik.

Merendahkan kreadibiliti laman itu sendiri

Bagaimana? Laman yang sekali bina dan kekal jarang menerima kesan ini. Tapi bagi laman yang aktif, kita akan tersekat atau terpaksa bergantung kepada rekaan asas untuk memastikan paparan dan persembahan kandungan diserasikan. Agak sukar untuk mendapatkan resipi dan menyeragamkan kandungan apabila terdapat banyak elemen-elemen grafik menghiasi ruang laman. Ditambah dengan tona warna yang pelbagai dan terlalu banyak kadang kala menampakkan kekurangan dari segi tahap kematangan pemilik laman.

Akhirnya kita akan mengambil keputusan untuk membina atau menukar bentuk paparan laman kepada yang baru. Akibatnya kita membuang masa, tenaga atau kos sekali lagi sedangkan semua itu boleh dielak.

Akses menerusi gajet mobil atau telefon pintar

Teknologi sangat pesat berkembang. Jika dahulu, internet hanya boleh dilayari menerusi sambungan "Dial-up" namun sekarang kita lihat di mana-mana sahaja pengguna mengakses internet menerusi mobil atau telefon. Kelajuan mengakses menerusi telefon dan komputer adalah berbeza. Rekaan yang lebih "ringan" dan pantas lebih sesuai untuk paparan di mobil. Kita boleh menetapkan dua antara muka berbeza berdasarkan kepada jenis sambungan yang datang. Tetapi adalah lebih baik dengan satu antara muka boleh dibuka oleh mana-mana sambungan.

Penggunaan lebar jalur (bandwidth) yang tinggi

Elemen gambar merupakan antara penyumbang yang terbesar kepada lebar jalur. Selain saiz muat turunnya yang besar, elemen ini memberi kesan kepada tempoh masa yang diperlukan untuk melengkapkan satu-satu dokumen laman (loading time). Sekiranya elemen ini dapat dikurangkan atau dikecilkan jumlah penggunaannya, kesan kepada prestasi laman dapat dilihat. Sekaligus faktor "page speed" yang dimuatkan dalam algoritma Agen Carian dapat dicapai.

Cara terbaik untuk membina antara muka laman

Jika anda dianugerahkan kepintaran untuk mereka dan membina antara muka satu-satu laman, konsep-konsep berikut boleh dijadikan panduan.

Gunakan rekaan "framework"

Kini terdapat banyak kerangka atau "framework" yang boleh membantu mempercepatkan proses binaan laman. Ia memudahkan setiap satu kandungan disusun, dikawal dan dikemas kini setiap kali proses tersebut diperlukan. Contoh kerangka percuma yang boleh didapati adalah seperti Blueprint dan 960 Grid system.

Reka bentuk dengan CSS

Versi CSS telah diperbaharui kepada CSS3 yang membolehkan rekaan laman dihasilkan dengan lebih mudah. Jika dahulu untuk menghasilkan kekotak berbucu lengkung memerlukan penggunaan gambar, tetapi dengan CSS3 hanya satu baris kod sahaja sudah memadai contohnya border-radius: 4px. Elemen HTML boleh diberikan sifat perilaku sama ada "hover", "on blur" dan "on focus". Tidak lagi memerlukan kod Javascript atau gambar beranimasi. Selain itu, penghasilan kesan khas bayang juga mudah dilakukan.

Gabungkan elemen gambar dengan CSS Sprite

Apabila bilangan elemen gambar bertambah, ia turut meningkatkan jumlah permintaan setiap kali laman dibuka. Melalui CSS Sprite, ke semua elemen gambar digabungkan ke dalam satu gambar sahaja. Seterusnya paparan ditunjukkan dengan nilai koordinat pada elemen "DIV" atau "SPAN".  Permintaan dikurangkan dari banyak kepada satu sahaja.

Mengapa CSS menjadi pilihan utama berbanding gambar?

Penggunaan CSS boleh menjimatkan masa muat turun elemen-elemen yang diperlukan untuk melengkapkan satu-satu dokumen halaman. Gambar adalah elemen yang dihasilkan oleh pembangun dan dipersembahkan terus menerusi perisian pelayar (Internet Explorer, Firefox, Opera).

Berbeza dengan CSS, kod aturcara akan dimuat turun setiap kali laman dibuka. Kod-kod tersebut akan dijalankan oleh perisian pelayar apabila semua dokumen selesai dimuat turun. Jadi, kita telah memindahkan tugas penghasilan paparan kepada perisian pelayar pengguna. Satu senario, kotak maklumat yang mempunyai kesan bayang. Kita akan melakar dan membina kotak dengan kesan khas menerusi perisian grafik. Apabila laman dibuka, elemen gambar akan dimuat turun. Berbanding CSS, dengan saiz yang kecil kotak dengan bayang khas akan dihasilkan oleh perisian pelayar (tiada elemen gambar dimuat turun).

Penilaian: 
3
Your rating: None Average: 3 (2 votes)