Sumber terbuka (Open Source) didefinasi dan merujuk kepada satu-satu perisian yang dikeluarkan bersama kod aturcaranya yang asal di bawah satu lesen keluaran untuk memastikan ke semua hasil kerja tersebut dikeluarkan dengan aturcara asal, memelihara kepentingan pencipta asal dan penetapan peraturan kepada dan siapa yang berhak untuk menggunakannya.

Sumber terbuka 'vs' sumber berbayar

Perkara utama yang membezakan antara sumber terbuka dan sumber berbayar (komersil) adalah sumber terbuka dihasilkan oleh golongan komuniti manakala sumber berbayar dihasilkan oleh penjual atau pembekal. Perisian sumber terbuka dikeluarkan dibawah satu lesen yang akan memastikan sumber kodnya boleh diakses oleh sesiapa sahaja untuk memeriksa, meminda, memuat turun dan menganalisis sekiranya perlu.

Dalam erti kata lain sumber terbuka -- merupakan sumber kod yang menghasilkan satu-satu perisian -- ditulis dan dikeluarkan untuk diguna pakai dan diperbaiki oleh sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut.

Sumber perisian terbuka secara pada konsep asasnya membenarkan perisian digunakan untuk sebarang tujuan, sumber asal dimiliki oleh penulis asal dan mengelakkan dasar diskriminasi terhadap komuniti.

Bagaimana sumber terbuka dibangunkan

Kepada sesiapa yang masih lagi baru dalam mengenali sumber terbuka, berikut adalah antara cara-cara satu-satu perisian sumber terbuka dihasilkan (berbanding perisian berbayar yang dihasilkan apabila wujudnya permintaan):

  • satu atau lebih pembangun perisian -- merangkumi golongan yang mempunyai satu-satu kemahiran tertentu -- mencetuskan satu-satu idea untuk menyelesaikan satu-satu masalah
  • pembngun perisian mula menulis kod aturcara untuk menyelesaikan masalah -- selalunya beberapa pembangun perisian masing-masing akan berlumba untuk menghasilkan kod yang paling cemerlang
  • pembangun perisian kemudiannya akan meletakkan kod perisian yang dihasilkan di satu tempat perkongsian di mana sesiapa boleh memuat turun dan bermain dengannya -- terdapat banyak laman perkongsian antaranya adalah SourceForge.com
  • selalunya perisian sumber terbuka ini dikeluarkan lebih daripada satu lesen bagi memastikan sumber asal kekal sebagai sumber terbuka
  • menerusi proses dan tatakerja perkongsian idea, kritikan antara satu sama lain, proses cuba jaya perisian tersebut menjadi lebih matang dan lebih baik -- kadang kala sebarang permasalahan baru diselesaikan apabila seseorang menemui satu perkara baru
  • pada masa yang sama, perisian tersebut sama ada sempurna atau terbengkalai -- ianya mungkin menjadi semakin popular, kekal seperti sedia kala atau lenyap ditelan zaman. Sebagai contoh perisian Linux dan Apache dikendalikan lebih dari ribuan penyumbang
  • masa berlalu, bilangan penyumbang akan silih berganti -- perisian tersebut sama ada menjadi aktif (kitaran ini akan berulang-ulang) atau langsung tidak disebut lagi.

Disebabkan bilangan perisian sumber terbuka yang dihasilkan terlalu banyak dan pihak pembangun lebih fokus untuk menghasilkan perisian untuk digunakan oleh pihak pembangun sendiri, golongan ini mula mengalihkan tujuan mereka bagi membangunkan perisian yang memerlukan kurang penyelesaian teknikal seperti perisian blog atau pengurusan kandungan.

Sumber terbuka = Open Source

Pelbagai tafsiran kepada sumber terbuka

Sehingga hari ini, maksud dan makna sebenar sumber terbuka menjadi semakin luas. Tiada satu pengertian yang tepat untuk menerangkan maksud sebenarnya sumber terbuka. Tetapi boleh disimpulkan bergantung kepada perspektif golongan yang melihatnya.

Pengguna perisian

Kepada pihak pengguna perisian sumber terbuka yang berkemahiran untuk memuat turun, memasang dan menggunakannya mentakrifkannya sebagai perisian bebas dan percuma.

Tiada satu pun perisian ini memerlukan kos. Sesetengah program mengenakan bayaran untuk langganan kepada sokongan, kemas kini, dokumentasi atau untuk versi premium. Namun kesemuanya boleh digunakan tanpa memerlukan sebarang bayaran.

Kebebasan pula dilihat pada keadaan melihat sumber kod asal perisian tersebut. Sesiapa sahaja berhak untuk mengubahnya dengan kemahiran yang dimiliki. Kebanyakan pengguna lebih gemar memilih untuk menggunakannya seperti yang asal walaupun proses modifikasi dibenarkan.

Pembangun dan jurutera perisian

Bagi golongan ini, pandangan mereka agak berbeza mengenai sumber terbuka. Bagi satu-satu projek atau perisian yang berjaya pulangannya mungkin dalam bentuk kemasyhuran, diiktiraf dimata dunia dan mungkin sumber kewangan untuk aktiviti runding cara.

Sesetengah pembangun menganggap sumber terbuka merupakan satu proses metodologi untuk berkongsi secara kolaborasi virtual, peningkatan evolusi perisian dan jalan kerja penulisan kod.

Namun rata-rata daripada mereka menganggap sumber terbuka adalah satu alat dan medium untuk penyelesaian kepada permasalahan dan penemuan dalam pembelajaran untuk perkara baru.

Sumber berbayar

Pihak penjual rata-rata menyokong kewujudan sumber terbuka ini seperti Linux dan MySQL bagi membantu mereka untuk memasarkan produk jualan. Kadang kala apabila wujud perisian sumber terbuka yang mempunyai fungsi yang sama fungsi dengan perisian berbayar, pihak penjual menganggap ianya sebagai pencabar kepada mereka.

Antara langkah yang diambil oleh golongan penjual dalam mengatasi masalah ini, mereka membangunkan perisian berbayar bagi memudahkan pihak pembangun mencipta sumber terbuka dengan lebih mudah. Ada juga antara mereka yang mengambil langkah membangunkan perisian sambungan kepada sumber terbuka sebagai cara untuk menambah fungsi sedia ada.

Penilaian: 
3
Your rating: None Average: 2.3 (3 votes)