Mengapa kita perlu berpindah kepada HTML5 dan CSS3? Ini merupakan satu persoalan yang sering dan begitu hebat dibicarakan di mana-mana ruangan perbincangan laman web. Ada yang mengatakan perlu dan ada yang menafikan keperluan teknologi ini memandangkan isu kesesuaian masih dititikberatkan.

Apabila HTML5 mula diperkenalkan dan masih dalam pembangunan, masih ramai yang setia kepada HTML4 dan mempiawaikan setiap halaman mereka kepada XHTML melalui alatan validasi dari Konsortium W3C. Versi-versi pelayar yang lama seperti Internet Explorer 6, 7 dan 8 masih belum menyokong sepenuhnya CSS3. Keadaan ini memaksa pembangun dan pereka laman web menguburkan impian mereka dari mengaplikasi sepenuhnya kehebatan CSS3.

Bagi mereka, proses untuk memvalidasi dan melakukan penyesuaian untuk pelbagai perisian pelayar memakan masa, menambah beban kepada laman dan merendahkan kreabiliti seorang pereka grafik. Masing-masing masih belum bersedia untuk berhijrah kepada aturcara yang terbaru ini, dah masih menunggu waktu di mana semua keperluan kepadanya ditukarkan sepenuhnya.

Fenomena Open Source melangkau batasan

Jika dahulu, kita dapat melihat hanya satu-satu pihak sahaja yang mendominasi dan menguasai keseluruhan dunia pembangunan laman web. Dengan wujudnya konsep dan persatuan Open Source, hari ini dapat dilihat satu fenomena tanpa batasan dan peningkatan penggunaan aplikasi percuma semakin meningkat dari sehari ke sehari. Berbeza dengan aplikasi yang dibangunkan secara berbayar, Open Source selalunya akan lebih maju setapak disebabkan wujudnya permintaan dan keperluan daripada komuniti.

Hari ini, dapat dilihat aplikasi pelayar seperti Firefox, Chrome dan Opera hasil binaan sepenuhnya daripada komuniti boleh dimuat turun dan dipasang pada komputer pengguna secara percuma. Saiz aplikasi ini yang sekitar 5 hingga 15MB sahaja memerlukan masa lebih kurang 5 hingga 10 minit sahaja untuk dimuat turun.

Selepas pemasangan untuk kali pertama, setiap aplikasi ini dilengkapi dengan kebolehan untuk dikemas kini kepada versi terbaru setiap kali ianya dikeluarkan. Dengan erti kata lain, pengguna tidak perlu bersusah payah untuk memeriksa aplikasi tersebut menyediakan versi terbaru. Dan semestinya, setiap keluaran mungkin akan dilakukan penambahbaikkan dari segi fungsi, kelajuan dan kebolehan aplikasi untuk memproses pengaturcaraan terkini. Dapat kita lihat, Opera 11 sudah menyokong penggunaan CSS3 manakala Mozilla Firefox 3 menyokong penggunaan HTML5.

Berbanding aplikasi Internet Explorer 8, masih belum dapat menyokong mana-mana teknologi ini. Selain itu, proses binaan dan cara bacaan kod juga berbeza. Keadaan ini menyebabkan laman-laman dengan konsep Web 2.0 sukar dibangunkan untuk kelihatan sempurna padanya. Disebabkan situasi ini, pihak pembangunnya, Microsoft akhirnya telah akur dan bersetuju untuk mempiawaikan versi IE9 kepada satu standard yang ditetapkan oleh Konsortium W3C.

Mengapa perlu HTML5 dan CSS3

Jika dahulu, penggunaan elemen gambar dipraktiskan untuk membina kotak berbucu lengkung, namun dengan CSS3 hanya memerlukan satu baris kod aturcara sahaja. Jika dahulu kesan khas bayang untuk elemen perlu dihasilkan menerusi latar belakang gambar, hari ini CSS3 hanya memerlukan satu baris sahaja. Seperti yang diimplementasikan pada laman web Kripkorn Studios.

http:/kripkornstudios.com.my/ahli-berdaftar/parasolx

CSS3 bukan sahaja memudahkan kerja-kerja penggunaan kesan khas malah memberikan nafas baru kepada bentuk dan stail paparan satu-satu laman. Penggunaan tona warna kini lebih mudah dengan adanya atribut gradient. Penggunaan elemen gambar yang berkurang memberi kesan yang besar kepada masa binaan laman. Saiz laman yang kecil membolehkan ianya diakses dan dilayari pada pelbagai jenis pelantar mobil.

HTML5 adalah satu revolusi pembaharuan daripada struktur HTML yang lama. HTML5 menekankan kepada struktur binaan laman yang lebih teratur, tersusun dan memudahkan proses pengindeksan Agen Carian. Dalam HTML5 membolehkan beberapa halaman dimuatkan dalam satu laman. Jika dahulu istilah frame digunakan, tapi kini telah digantikan dengan section. Selain itu, beberapa atribut dan tag dari versi terdahulu telah dimansuhkan memandangkan penggunaannya tidak relevan dan terkeliru dengan fungsi yang sedia ada.

Migrasi kepada HTML5 dan CSS3

Kini tibalah masanya untuk kita berpindah dan bermigrasi kepada dunia baru. Tidak perlu untuk kita lakukan penetapan standard kepada semua versi aplikasi pelayar yang hanya memberi kesan lebih kurang 10% pengguna. Kita perlu memaksa mereka dalam golongan ini untuk bertukar kepada dunia Open Source yang mampu untuk menawarkan keupayaan yang lebih besar.

Tag #: 
Penilaian: 
3
Your rating: None Average: 3 (1 vote)