Jadi, apa itu duplikasi kandungan? Ia sebenarnya telah menerangkan maksudnya tersendiri. Duplikasi kandungan adalah mana-mana helaian kandungan yang sama digunakan berulang kali dalam laman web anda. Atau isi kandungan (penulisan kandungan utama) diguna pakai pada kandungan yang sama.

Pada peringkat permulaan, ianya telah digunakan sebagai salah satu helah untuk mendapatkan populariti laman yang lebih tinggi (dalam konteks SEO) yang mana Agen Carian akan melihat berlaku peningkatan pada bilangan laman. Penambahan bilangan laman seterusnya akan meningkatkan peluang (chances) untuk kata kunci diindeks oleh mereka. Walau bagaimanapun, helah ini sudah tidak boleh dipakai lagi pada hari ini.

Isu duplikasi pada Google dan Agen Carian lain

Google, satu nama yang sangat dikenali, begitu sensitif kepada isu duplikasi ini. Sekiranya anda berniat untuk menggunakan kandungan yang sama dalam mana-mana laman web anda, berhati-hati kerana Google telah mengaplikasikan tapisan kepada duplikasi kandungan di dalam algoritmanya sekarang.

Tapisan ini akan mengesan mana-mana laman yang berbuat demikian dan memberikan penalti terhadap laman yang menduplikasikan kandungan secara besar-besaran dalam proses meningkatkan popularitinya.

Sekiranya anda menguruskan laman dinamik yang menggunakan pangkalan data sebagai storan simpanan maklumat (contohnya "Content Management System, CMS") atau templat yang dikendalikan oleh sistem, beberapa perkara ini perlu dititikberatkan agar tidak dikenakan penalti oleh Agen Carian:

  • untuk pangkalan data, pastikan setiap laman hanya boleh dikunjungi melalui satu URL atau alamat sahaja (contohnya Drupal yang menyokong berbilang URL untuk satu laman)
  • bagi sistem enjin templat, masukkan elemen-elemen yang digunakan secara berulang dalam setiap laman ke fail luaran. Contohnya fail-fail Cascading Style Sheet (CSS) dan JavaScript.

Secara asasnya, setiap laman seharusnya mempunyai tajuk dan data meta yang unik, memandangkan cebisan-cebisan maklumat ini digunakan untuk menentukan populariti laman.

Tindakan mengelak duplikasi kandungan

Sebagai langkah selamat, sebarang dua laman jika dibandingkan perlu sekurang-kurangnya 75% dari keseluruhan informasi yang dimuatkan adalah unik. Lebih mudah diperkatakan, dalam 100 baris ayat yang ditulis, 75 baris daripadanya adalah unik dan tidak diulang dari mana-mana bahagian. Sehubungan itu, satu laman perlu mempunyai bahagian tertentu yang memaparkan penerangan, informasi dan maklumat untuk navigasi ke laman yang lain.

Tetapan ini diaplikasikan kepada keseluruhan domain. Sekiranya anda "meminjam" maklumat dari laman yang lain dan laman tersebut terlebih dahulu telah diindeks oleh Agen Carian, kebarangkalian Google (atau Agen Carian lain) tidak akan memaparkan laman anda dalam sebarang keputusan carian adalah tinggi. Ini kerana mereka telah mengesan kandungan tersebut adalah duplikasi daripada laman yang sedia ada.

Sekali lagi, dengan menukarkan hampir 75% kepada kandungan yang lebih unik berbanding kandungan asal, ini dapat memastikan yang kandungan anda tidak akan dipenalti atas sebab duplikasi. Oleh itu, meminjam sebaris atau satu frasa ataupun satu perenggan tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

Penilaian: 
No votes yet