Masalah utama kepada usahawan

Anda mempunyai satu laman web (yang konvesional) atau dibangunkan secara intranet (LAN). Laman tersebut telah berkembang secara tidak disedari dari satu masa ke masa, mempunyai kandungan yang banyak dan sangat berguna -- namun masih belum mencapai satu tahap kepuasan sebenar. Apabila diimbas kembali dan diselidik, mendapati banyak kandungan yang sudah ketinggalan dari segi isi dan kandungan. Proses mengemas kini setiap satu halaman memakan masa dan sangat kompleks ditambah dengan bentuk paparan yang sudah lusuh.

Lebih-lebih lagi, laman web tradisional ini sukar untuk dijejaki tarikh dan masa ianya dikemas kini atau dihantar. Masalah mungkin timbul kepada pengguna yang bukan dalam kategori sebagai web master -- di mana terpaksa mengupah pembangun laman web sekadar untuk memasukkan satu kandungan baru. Perisian seperti Dreamweaver dan Frontpage adalah alat bantuan yang paling berguna di saat teknologi laman web masih diperingkat awal.

Melihatkan masalah ini semakin meruncing apabila perniagaan secara atas talian mula mendapat tempat, satu golongan telah tampil untuk menghasilkan sistem yang berfungsi secara dinamik menerusi bantuan daripada hos pelayan dan menamakannya sebagai sistem pengurusan kandungan ataupun "Content management system".

CMS: Definisi berdasarkan kepada corak kerja

Satu sistem pengurusan kandungan menyokong corak kerja seperti penghasilan, pengurusan, penyebaran, penerbitan dan penjelajahan maklumat-maklumat  dalam sistem tersebut. Ianya meliputi keseluruhan pusingan satu-satu halaman dalam laman web, bermula dari penyediaan alatan mudah untuk penghasilan satu kandungan sehingga penerbitan kandungan tesebut dan akhirnya mencapai kembali sekiranya sudah diarkibkan.

Ianya berupaya untuk mengendali dan menguruskan struktur keseluruhan laman web sama ada bentuk paparan laman web itu sendiri sehinggalah kepada bentuk navigasi bagi memandu pengguna melayarinya. Pada hari ini, kebanyakkan CMS lebih berfokus kepada penghasilan laman web bagi tujuan mengendalikan kandungan web. Dalam sesetengah pendapat, mereka lebih gemar menggunakan terma "web management content, WMC".

Apakah kelebihan menggunakan CMS

Tiada fokus yang tepat tetapi CMS itu sendiri menyajikan kelebihan dan keuntungan yang lebih besar daripada yang dijangka. Ini termasuklah:

  • mengukuhkan proses penulisan kandungan
  • kitaran yang pantas dalam proses kemas kini untuk halaman sedia ada dan halaman baru
  • lebih konsisten
  • meningkatkan keupayaan navigasi laman
  • meningkatkan tahap fleksibel
  • menyokong banyak penulis/pengurusan
  • meningkatkan tahap keselamatan laman
  • mengurangkan duplikasi maklumat dan informasi
  • kapasiti yang lebih untuk bertumbuh
  • mengurangkan kos penyelenggaraan satu-satu laman web.

Dengan kelebihan-kelebihan yang diperoleh daripada CMS, seseorang boleh menggunakannya untuk pelbagai tujuan sama ada perniagaan, tujuan peribadi, kegunaan umum dan pelbagai strategi yang difikirkan perlu. Antara yang sudah berjaya dengan CMS adalah peningkatan hasil jualan, kepuasan pengguna dan mengecilkan jurang komunikasi antara pengguna dan pemilik laman.

Anatomi satu-satu sistem CMS

Bahagian berfungsi dalam satu-satu sistem CMS boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian utama iaitu:

  • penghasilan kandungan
  • pengurusan kandungan
  • penerbitan
  • persembahan

Penghasilan kandungan

Dibahagian hadapan (front-end) sistem ini menyediakan alatan yang mudah digunakan bagi tujuan penulisan dan penghasilan satu-satu kandungan. Antara keupayaan yang disediakan adalah fungsi-fungsi yang hampir sama disediakan dalam perisian suntingan teks Microsoft Word. Melalui kaedah ini, pengguna yang bukan dari golongan teknikal boleh mengemas kini dan menghasilkan satu halaman baru tanpa perlu mengetahui sebarang kod aturcara contohnya HTML.

Selain itu, beberapa kemudahan lain mungkin turut disediakan seperti proses tarik-dan-seret (drag-and-drop) dan fungsi untuk menghasilkan pautan ke halaman yang sedia ada dengan lebih teratur. Kebanyakan sistem ini boleh dikendalikan menerusi kaedah kawalan berbilang (bermakna ianya boleh diakses dari mana-mana tempat, sistem dan situasi) tanpa memerlukan perisian tambahan yang khas.

Pengurusan kandungan

Setelah satu kandungan selesai dihasilkan, ianya disimpan secara berpusat di dalam sistem sama ada menerusi fail tertentu ataupun pangkalan data. Di samping itu, beberapa maklumat tambahan turut direkod bersama-sama dengan kandungan utama. Fungsi ini membolehkan CMS menyediakan fungsi diluar jangkaan seperti:

  • mengawal dan menjejak setiap versi terbitan kandungan yang dihasilkan, dan memaparkan siapa pengguna yang bertanggungjawab terhadap setiap versi
  • memastikan hanya pengguna tertentu dapat mencapai ruangan dan seksyen tertentu
  • berintegrasi dengan lain-lain sistem atau sumber IT.

Kelebihan-kelebihan yang disediakan ini akan membentuk satu tatakerja atau aliran kerja yang lebih konsisten, sistematik dan lebih fleksibel dari segi pengurusan. Ini termasuklah menyediakan sistem notifikasi untuk setiap aliran kerja dan mengawal capaian kandungan yang boleh diakses oleh pelbagai pengguna berdasarkan kepada kebenaran yang disediakan.

Penerbitan

Setelah satu kandungan tersebut selesai dihasilkan dan disimpan, ianya akan melalui proses selanjutnya iaitu diterbitkan pada laman web. CMS membenarkan kandungan tersebut dipaparkan secara automatis, pada waktu tertentu atau dipaparkan pada laman-laman yang berlainan. Setiap laman web mempunyai reka bentuk tersendiri dan pihak pereka laman web berupaya untuk melakukan sinkronasi antara kandungan dan reka bentuk laman dengan lebih mudah.

Dengan CMS, pihak pembangun dapat memastikan setiap halaman mempunyai konsisten dari segi bentuk paparannya dan kedudukan kandungan utama tanpa perlu untuk memeriksa setiap kali kandungan baru dihantar oleh pengguna yang berlainan.

Persembahan

CMS juga berupaya untuk menyediakan fungsi bagi meningkatkan tahap kualiti dan keberkesanan penyampaian maklumat laman web itu sendiri. Sebagai contohnya, kandungan yang dihantar akan dipandu menerusi navigasi menu laman. Ianya berkesan meningkatkan tahap pembacaan pengguna untuk membaca kandungan utama. Di samping menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan penggunaan variasi jenis perisian pelayar oleh pengguna.

Kesimpulan mengenai CMS

Sistem pengurusan kandungan (CMS) adalah satu perkara relatif dan sudah sebati dalam dunia pembangunan laman web sekarang. Walaupun ianya masih belum diterima pakai oleh semua pengguna, tetapi perubahan secara dramatik dari segi kesenangan menguruskan satu-satu laman web telah berjaya ditonjolkan dengan sempurna. Salah satu CMS yang dibangunkan adalah Drupal.

Penilaian: 
3
Your rating: None Average: 3 (2 votes)