Salah satu keperluan yang perlu disediakan sebelum pemasangan boleh dilakukan adalah meletakkan fail-fail Drupal di dalam pengehosan web atau pelayan virtual. Proses ini saya bahagikan kepada dua situasi iaitu di pengehosan web dan localhost.



Pengehosan web



Bagi pengguna yang sudah mempunyai hos web sendiri, lebih baik sekiranya anda melakukan pemasangan Drupal terus dari sana. Bagi yang ingin baru mencuba, digalakkan untuk membuatnya di localhost terlebih dahulu. Tetapi pastikan pengehosan web menyokong penggunaan sambungan fungsi PDO pada PHP.



Bagi memindahkan dan memasukkan fail-fail Drupal, satu sambungan perlu dilakukan antara komputer dan pelayan. Terdapat banyak perisian yang menawarkan perkhidmatan ini (yang dipanggil perisian FTP -- Files Transfer Protocol). Dalam tutorial ini saya lebih gemar untuk memilih perisian FileZilla. Salah satu ciri pemilihannya kerana ia merupakan perisian Open Source. Muat turun dan pasangnya di komputer anda.



Seterusnya lakukan sambungan dengan log masuk ke dalam pelayan menggunakan nama akaun dan kata laluan yang diberikan oleh pihak pengehosan web. Seandainya sambungan berjaya, anda akan mendapat paparan seperti di bawah (fokuskan pada bahagian tetingkap sebelah kanan).



Peletakan dan penetapan fail-fail Drupal 7-9049



Senarai direktori akan ditunjukkan dan ianya mungkin berbeza bergantung kepada jenis pengehosan web. Folder yang menjadi fokus kita adalah public_html atau mungkin www. Dalam contoh ini, folder yang akan dipaparkan kepada umum adalah public_html. Tugasan seterusnya adalah memuatnaikkan ke semua fail Drupal yang dimuat turun dari Drupal.org sebelum ini ke dalamnya.



Mungkin pengehosan web tersebut sudah mempunyai fail-fail untuk kegunaan sistem lain, maka hasilkan satu folder dan tempatkan ke semua fail-fail tadi ke dalam folder tersebut. Seperti gambar di bawah, struktur dan kedudukan fail D7 untuk kedudukan root (maknanya di public_html) atau di dalam satu folder berasingan ditunjukan.



Peletakan dan penetapan fail-fail Drupal 7-9050



Penetapan kebenaran folder "default"



Berbeza dengan D6, D7 kali ini menawarkan pemprosesan secara automatik untuk penghasilan fail yang menyimpan konfigurasi sistem semasa proses pemasangan iaitu fail settings.php. Namun bagi membolehkan Drupal mengawal dan menjalankan proses tersebut, satu tetapan kebenaran perlu ditetapan untuk folder tertentu. Jika tidak proses pemasangan akan memaparkan ralat.



Dalam Linux, selalunya proses ini dipanggil CHMOD iaitu membenarkan golongan tertentu untuk mengawal dan menggunakan folder/fail tertentu di dalam pengehosan web. Untuk itu anda perlu navigasi ke: [direktori Drupal]/sites. Klik kanan (right click) dan pilih pilihan "File permissions...".



Peletakan dan penetapan fail-fail Drupal 7-9051



Satu tetingkap yang baru akan dipaparkan. untuk proses pemasangan ini, benarkan ke semua kebenaran atau anda boleh tuliskan pada medan yang disediakan dengan nilai 777. Dengan ini kita memberikan Drupal penguasaan sepenuhnya kepada Drupal mengendali dan menggunakan folder default. Klik butang "OK".



Penyediaan fail "settings.php"



Seperti yang saya terangkan, D7 telah meminima proses manual yang perlu dilakukan oleh pengguna namun kadang kala tetapan pengehosan web itu sendiri menghalang proses automatis ini dijalankan. Sebagai langkah selamat, kita lakukannya. Semasa proses pemasangan, satu fail yang menyimpan ke semua maklumat penting berkaitan dengan pangkalan data, tetapan utama Drupal dan maklumat tetapan untuk Apache dihasilkan di dalam folder default.



Fail tersebut dinamakan settings.php. Mungkin anda tertanya, mengapa pakej pemasangan ini tidak memuatkan terus fail tersebut sebaliknya yang saya dapat lihat adalah default.settings.php? Keadaan ini adalah untuk mengelak dari berlakunya proses tulis tindan (overwrite) fail settings.php ini apabila proses naik taraf (upgrade) dilakukan.



Lakukan satu salinan fail default.settings.php dan namakan semula kepada settings.php. Proses ini tidak boleh dilakukan terus menerusi FileZilla. Anda perlu lakukannya di komputer dan kemudian barulah muat naik fail tersebut ke dalam folder default. Seterusnya adalah memberikan kebenaran yang sama seperti kita lakukan pada folder default (berikan kebenaran 777). Ini bagi membolehkan Drupal berupaya untuk menulis tetapan yang diperlukan.



Peletakan dan penetapan fail-fail Drupal 7-9052



Localhost atau di pelayan virtual (komputer sendiri)



Untuk penetapan fail-fail di localhost (pelayan virtual dalam komputer sendiri), langkah-langkah dan prosesnya hampir sama sahaja. Anda perlu muat turun terlebih dahulu pakej pemasangan dari Drupal.org.



Kedudukan direktori root untuk menempatkan fail-fail Drupal ini berbeza bergantung kepada jenis perisian pelayan virtual yang anda gunakan sama ada WAMP, XAMPP ataupun IIS. Direktori yang perlu diletakkan fail-fail ini adalah seperti berikut:



  • XAMPP: htdocs

  • WAMP: www

  • IIS: wwwroot


Disebabkan pada pelayan virtual ini mungkin menempatkan lebih dari satu sistem yang telah/akan dipasang bagi tujuan pembelajaran atau percubaan, dicadangkan untuk anda hasilkan folder khas bagi menempatkan fail-fail Drupal 7. Contohnya adalah seperti dalam gambar rajah di bawah:



Peletakan dan penetapan fail-fail Drupal 7-9053



Bagaimana dengan tetapan kebenaran? Apabila kita bekerja pada komputer yang menggunakan platform Windows, langkah ini tidak perlu dilakukan memandangkan Windows tidak memerlukan sebarang tetapan kebenaran untuk folder dan fail. Semuanya telah disetkan pengaksesan sepenuhnya. Jadi, Drupal dapat menggunakan, menghasilkan dan menulis sebarang fail ke dalam direktori.



Keadaan berbeza untuk platform Linux atau Apple yang mungkin memerlukan tetapan. Anda perlu rujuk tutorial yang menerangkan proses untuk melakukan penetapan kebenaran.

Penilaian: 
1
Average: 1 (1 vote)