Apa itu sistem fail?

Untuk memudahkan pemahaman, sistem fail (file system) adalah keadaan atau satu mekanisme komputer mengurus dan menyimpan data-data dalam cakera keras (hard disk). Dalam satu-satu cakera keras mungkin mengandungi beribu fail-fail yang perlu diuruskan yang melibatkan aktiviti penyimpanan atau capaian kembali.

Dengan pengertian lain, fail sistem adalah satu prosedur yang memetakan keseluruhan maklumat dalam cakera keras. Jadi bagaimana sistem atau mekanisme ini berkerja/berfungsi?

Ruangan dalam cakera keras akan dibahagikan kepada beberapa bahagian yang dipanggil sektor (sector). Setiap satu sektor menampung data sebanyak 512 bait. Jadi seandainya cakera keras bersaiz 10 kilobaits, maka jumlah sektor yang dibahagikan adalah sebanyak 20 sektor.

Bagi memudahkan proses pencarian, sistem akan menghasilkan beberapa gugusan sektor yang dipanggil kluster (cluster). Sekarang berbanding untuk menamakan setiap sektor, ianya lebih senang untuk memanggil menerusi kluster. Andaikan terdapat 400 maklumat dan setiap kluster dimuatkan 4 maklumat untuk setiap sektor, maka akan terhasil 100 kluster.

Dalam proses pencarian maklumat atau fail, sistem akan merujuk kepada penomboran kluster kemudian pencarian seterusnya kepada sektor. Ketiga-tiga jenis sistem fail iaitu FAT16, FAT32 dan NTFS berfungsi seperti ini. Jadi apa yang membezakan ketiga-tiga sistem ini?

Faktor utama yang membezakannya adalah ruangan simpanan dan bilangan proses yang boleh dilakukan. Kita ambil satu situasi yang mana terdapat 10 orang dan diberikan satu beg kosong setiap satunya. Dan kita berikan 8 buku untuk disimpan di dalam setiap beg. 8 daripada 10 orang tersebut akan simpan satu buku dalam satu beg setiap. Seandainya terdapat satu lagi buku untuk disimpan, 8 orang tersebut akan saling menolak untuk menyimpan buku tersebut dengan alasan mereka hanya akan menyimpan satu buku pada satu masa walaupun masih terdapat ruangan untuk menyimpan.

Dari situasi di atas, kita dapati berlaku pembaziran kepada ruangan yang sepatutnya masih boleh menempatkan data-data dan maklumat lain. Inilah yang berlaku pada sistem fail FAT16.

Sistem fail FAT32 datang menyelesaikan

Bagi membolehkan data disimpan dan diuruskan dengan lebih banyak dan lebih efisien, maka wujudnya satu sistem fail baru iaitu FAT32 yang menggunakan teknologi 32bit berbanding sebelum ini 16bit. FAT32 mendaftarkan satu ruangan pada cakera keras yang dinamakan "Fail Allocation Table" bagi menyimpan maklumat terhadap data-data yang dimasukkan.

Setiap satu informasi fail akan mengambil ruangan sebanyak 32 bait. Seandainya terdapat 100 fail disimpan, maka ruangan yang ditempah adalah sebanyak 3200 bait (yang tidak akan diusik oleh mana-mana simpanan). Struktur simpanan informasi dibuat seperti ini untuk setiap satu fail yang disimpan:

http:/kripkornstudios.com.my/ahli-berdaftar/parasolx

Setiap bait yang ditetapkan mempunyai fungsinya tersendiri yang boleh difahami dari gambar di atas. Pada barisan "simpanan", ianya disimpan untuk kegunaan sistem fail pada masa hadapan. Struktur sebegini membolehkan setiap satu pemacu memegang lebih dari 255 direktori yang sebelum ini terhad pada sistem FAT16.

Di samping itu, kedua-dua sistem fail FAT16 dan FAT32 akan membuat dua salinan bagi mengelakkan berlaku kerosakan semasa sebarang proses permindahan, penyalinan atau pembuangan fail-fail. Yang membezakannya FAT16 hanya membaca salah satu salinan sahaja sebaliknya FAT32 akan membaca dan sinkronasikan kedua-dua salinan supaya sepadan.

Teknologi terbaru: NTFS (NT File System)

Kedatangan teknologi Windows NT yang digunakan pada pelantar pelayan (server) ke dalam sistem Windows umum menjadikan pengurusan fail sistem menjadikan ianya lebih spesifik dan lebih ketat dari segi keselamatan. Antara kelebihan yang diterapkan adalah seperti berikut:

  • Kebenaran (permission): pemilik Windows boleh menetapkan kebenaran mengakses sebarang fail-fail dalam cakera keras sama ada secara umum atau secara berkumpulan
  • Mampatan (compression): bagi membolehkan fail-fail disimpan secara maksimum, NTFS berupaya untuk memampatkan fail-fail tersebut supaya menjadi lebih kecil dari segi saiz fail
  • Penyulitan (encryption): penyulitan atau penyahkodan ke dalam bentuk kod rambang yang tidak langsung tidak menyerupai data-data asal agar ianya tidak mampu untuk baca dan diterjemahkan oleh pengguna biasa.
Penilaian: 
No votes yet