Apabila berbicara mengenai cip pemprosesan, ia merupakan tunjang utama bagi satu-satu sistem komputer untuk melaksanakan semua input dan menghasilkan output seperti yang diperlukan. Semakin pantas sesuatu cip pemprosesan, semakin efisien satu-satu kerja yang ingin dilaksanakan.
Kekuatan satu-satu cip pemprosesan diukur pada kadar putarannya maklumat yang boleh dilengkapkan dalam tempoh sesaat (Hertz). Semakin besar nilai kitaran, maka semakin berkuasa cip tersebut. Namun begitu, Intel telah menghasilkan satu idea yang baru di mana memuatkan secara "virtual" dua cip pemprosesan ke dalam satu yang dipanggil konsep "Core".
Core merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada bilangan pusat pemprosesan yang dimuatkan dalam satu-satu cip. Semakin banyak core yang wujud, maka semakin banyak kerja-kerja boleh dilaksanakan dalam satu-satu masa secara serentak.
Tetapi terdapat kekurangan terhadap pencapaian sebegini kerana pemprosesan yang pantas memerlukan sumber tenaga yang banyak. Keadaan ini mengakibatkan kebanyakan pengguna mobil (laptop dan tablet) terpaksa melakukan pengecasan dengan lebih kerap memandangkan sumber tenaga yang disimpan pada bateri lebih cepat habis.
Melihat kepada situasi ini, Intel sekali lagi telah melancarkan satu teknologi baru yang diberi kod nama sebagai Haswell, iaitu Intel 4th Generation Intel Core Processors. Generasi terbaru ini dijamin mampu memberi penjimatan penggunaan bateri hampir 50% daripada generasi sebelumnya.
Intel fokus kepada Ultrabook dan tablet
Generasi Intel terbaru ini menggunakan 6 watt tenaga (14 nm) pada keadaan rehat atau untuk menjalankan kerja-kerja ringan seperti melayari internet, melakukan pemprosesan teks dan mendengar lagu. Satu peningkatan yang sangat jauh berbeza dengan generasi ke-3 yang menggunakan 15 watt.
Dengan kelebihan terbaru ini, ianya menjadikan cip pemprosesan jauh lebih nipis dan kecil dari saiz tetapi tidak mengorbankan kekuatan dan kehebatannya untuk memproses pada kelajuan dua kali (2x) lebih pantas. Kelebihan ini menjadikan fokus utama Haswell adalah kepada peranti mudah alih iaitu Ultrabook dan tablet.
Sebelum ini, Intel Atom yang menggunakan hanya 2 watt tenaga adalah antara buruan peranti tablet untuk menjadikannya cip pemprosesan utama. Walau bagaimanapun Intel Atom adalah terhad kepantasannya dari segi kelajuan pemprosesan. Kehadiran Haswell dikatakan adalah pengganti kepada Intel Atom kepada hampir kebanyakan peranti nipis ini.
Kelajuan pemprosesan grafik
Pemprosesan pada kadar 6 watt tidak bermaksud kita memerlukan peranti grafik tambahan memandangkan generasi ke-4 ini dilengkapi dengan cip grafik terbaru yang dipanggil Iris. Antara spesifikasi yang boleh dialami oleh pengguna adalah:
- 2x kadar pemprosesan grafik 3D menerusi Intel HD Graphic High Performances U-series yang dikhaskan untuk Ultrabook
- 2x kadar pemprosesan grafik 3D menerusi Intel Mobile H-Series
- 3x kadar pemprosesan grafik 3D untuk Desktop R-Series dengan gabungan Intel Iris Pro Graphic dan High Speed Memory (eDRAM)
Perbandingan peranti yang boleh dibuat antara generasi ke-4 ini dengan Intel Core 2-Duo, pengguna akan merasai:
- hampir separuh ketebalan dan berat dikurangkan
- 17x lebih pantas untuk penghasilan video
- 25x lebih pantas pemprosesan grafik
Antara pengguna terawal Haswell
Apple adalah antara yang terawal menggunakan Intel Haswell termasuk lain-lain jenama Ultrabook yang ada dipasaran. Apple kini menggunakan Haswell pada laptop Mac Book Air yang membenarkan ianya berfungsi hampir 12 jam dengan menggunakan kuasa bateri (peningkatan ketara daripada 9 jam sebelum ini).
Bagi Ultrabook pula, pengguna boleh melaksanakan kerja-kerja pemprosesan ringan hampir selama 6-7 jam dengan kuasa bateri yang cukup untuk meliputi aktiviti harian semasa pergi bekerja, di atas pengakutan awam dan di atas kereta api.