Boleh dikatakan pada hari ini, hampir ke semua individu di dunia pernah atau memiliki sekurang-kurangnya sebuah komputer yang digunakan untuk melakukan pelbagai operasi, kerja harian, pemprosesan dan pelbagai lagi aktiviti harian. Mungkin ramai di antara kita yang mengenali dan mengetahui terma atau unit dalam satu-satu komputer yang dipanggil CPU.

Tetapi sejauh mana tahap pengetahuan dan perkara asas dalam satu-satu CPU itu kita ketahui? Dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat sekarang, kita sering mendengar istilah seperti "core", "thread", "cache" dan lain-lain lagi kelebihan yang membezakan keupayaan satu-satu CPU dengan yang lain. Oleh itu, adalah lebih baik kita mengenali dengan lebih dekat maksud dan fungsi setiap spesifikasi yang dibina dalam satu-satu unit pemprosesan ini.

Cores

Sehingga saat ini, kita sememangnya sering mendengar perkataan ini. Jika kita lihat perbandingan dalam sebiji buat kacang, core atau isi utama merupakan bahagian utama yang menjalankan operasi pengiraan dan perbandingan. Sebelum ini, satu pemprosesan mempunyai satu CPU dalam satu pakej cip tersebut atau dipanggil 'single core'. Tetapi pada hari ini dapat kita lihat teknologi telah berjaya untuk memasukkan dua CPU dalam satu pakej atau dipanggil sebagai 'dual core'. Tidak berhenti di sini, tetapi boleh kita lihat hari ini sudah muncul 'quad core' dan 'six core'.

Secara matematik mudah, sesuatu kerja boleh dilakukan dua kali lebih pantas dengan 'dual core' berbanding 'single core' dan semestinya empat kali lebih pantas dengan 'quad core'. Walau bagaimanapun, dengan melihat kepada satu parameter sahaja tidak boleh menentukan kemampuan secara total satu-satu CPU. Ini kerana keupayaan sebenar sebuah cip pemprosesan ini bergantung kepada kadar kitaran atau dipanggil 'cycle'.

Cycle

'Cycle' atau kitaran dihitung dan dikira dalam unit MHz atau GHz. Kitaran ini bermaksud satu pemprosesan lengkap yang dijalankan dalam CPU bermula data diterima sehingga data diproses. Setiap satu kitaran yang lengkap diproses dalam satu saat dikatakan mempunyai kelajuan 1 Hz. Jika CPU tersebut dapat memproses 10 data dalam tempoh 1 saat, kelajuannya adalah sebanyak 10 Hz.

'Cycles' merupakan unit kelajuan sebenar yang diukur untuk satu-satu cip pemprosesan. Sungguhpun terdapat beberapa faktor dan elemen lain yang perlu diambil kira, tetapi secara dasarnya satu cip dengan kelajuan kitaran 3.0 Ghz adalah dua kali ganda lebih pantas berbanding 1.5 Ghz. Dan satu cip dengan kelajuan 500 Mhz adalah satu pertiga laju berbanding 1.5 Ghz. Senang bicara, jika kita mahukan satu CPU yang sungguh pantas maka carilah yang mempunyai kelajuan yang paling tinggi. Jika itu boleh dilakukan, sudah pasti semua komputer di dunia ini dilengkapi dengan satu kelajuan yang standard. Tetapi disebabkan kehadiran faktor kos dalam faktor seterusnya menyebabkan wujudnya pelbagai variasi kelajuan.

Kos

Satu-satu unit pemprosesan yang mempunyai kelajuan pada tahap yang tinggi memerlukan kos atau nilai jualan yang lebih tinggi. Sebagai contoh, perbezaan kelajuan antara dua CPU berkapasiti 2.93 Ghz dan 3.06 Ghz adalah sebanyak 5% tetapi jika dilihat pada perbezaan kos adalah sebanyak 10%. Jadi tidak hairan sekiranya perbezaan kos untuk 'dual core' dan 'quad core' adalah hampir dua kali ganda tingginya. Disebabkan faktor ini, pihak pengeluar terpaksa menghasilkan beberapa variasi dengan spesifikasi yang berlainan supaya mampu dimiliki dan memenuhi kepelbagaian keperluan pengguna.

Faktor yang lain

Tiga perkara di atas adalah yang paling penting untuk kita lihat terlebih dahulu dalam mendapatkan satu-satu CPU. Tetapi tidak berhenti di situ kerana beberapa elemen lain seperti 'cache' dan keperluan tenaga perlu diambil kira.

Cache: secara tradisionalnya, satu CPU akan membaca arahan atau maklumat yang perlu diproses daripada capaian ingatan sementara, RAM (Random Access Memory). Unit pemprosesan pada hari ini mempunyai kelajuan yang jauh lebih tinggi berbanding kelajuan RAM. Bagi mengelak daripada kelewatan maklumat atau menyamakan perbezaan antara kedua-dua peranti ini, satu RAM terbina di dalam CPU diwujudkan. Ini membolehkan data dari RAM sebenar dipindahkan kepada RAM dalaman dan apabila perlu, unit pemprosesan boleh mendapatkan maklumat dengan lebih pantas berbanding memanggilnya daripada RAM sebenar.

Keperluan tenaga: lebih pantas satu-satu CPU, lebih banyak tenaga diperlukan. Pada komputer jenis desktop, perkara ini boleh diabaikan tetapi pada komputer jenis notebook atau laptop ia adalah faktor yang terpenting. Tidak berbaloi sekiranya mempunyai sebuah komputer yang berkelajuan tinggi tetapi hanya boleh digunakan selama 30 minit sahaja dengan sokongan bateri. Manakala pengurangan dari segi penggunaan tenaga semestinya akan menyebabkan kelajuan pemprosesan merudum.

Selain itu, terdapat banyak lagi elemen yang perlu diambil kira untuk mendapatkan kemampuan sebenar satu cip CPU dan penerangan secara umum lebih sukar untuk dibahaskan. Kita akan mendalami hal ini dalam artikel yang lain tetapi yang penting adalah mengetahui dan memahami perkara asas dalam satu-satu CPU.

Penilaian: 
3
Your rating: None Average: 2.5 (2 votes)

Komen

escdel's picture

kalau situasi camni; 3.0GHz Single Core vs 2.0GHz Dual Core, mana lagi bagus?

parasolx's picture
Admin

Sudah pasti 2.0GHz dual core lebih baik kerana ianya adalah teknologi baru berbanding Single Core. 2.0GHz pastinya akan mempunyai total kapasiti 4.0Ghz secara maya.

------

Hadafi Solution & Resources: http://parasolx.net
Professional in Drupal web development, theme designing, consultation and training