Sebagai permulaan, HTML5 adalah generasi terbaru untuk kod pengaturcaraan HTML. Sebelum ini, hampir ke semua laman web di dunia menggunakan versi HTML4 dan dipadukan dengan konfigurasi dan standard xHTML2.

Pengenalan kepada HTML5

HTML5 adalah satu standard atau piawai dalam kod pengaturcaraan laman web terbaru yang merangkumi HTML, xHTML dan Data Object Model (DOM) untuk HTML. Versi sebelum ini, iaitu HTML4 telah diperkenalkan semenjak tahun 1999 dan sehinggalah tahun 2009, ianya telah dipertingkatkan kepada versi terbaru iaitu versi 5.

Banyak perubahan yang boleh dikatakan begitu ketara berlaku dalam pembinaan laman web setelah HTML5 diperkenalkan. Walau bagaimanapun, HTML5 masih lagi dalam proses pembangunan. Sungguhpun begitu, perisian pelayar web (web browser) yang moden sudah menyokong penggunaan HTML5 padanya.

Bagaimana HTML5 mula diperkenalkan

Ia merupakan satu kolaborasi dan kerjasama yang dimenterai antara Konsortium World Wide Web (W3C) dan Web Hypertext Application Technology Working Group (WHATWG) untuk memperkenalkan satu teknik dan kaedah penghasilan laman web yang lebih bijak, bermakna dan berupaya untuk menarik data-data dari satu laman ke laman yang lain.

WHATWG adalah satu anak syarikat yang begitu aktif dan bergiat dalam bidang pembinaan aplikasi berlandaskan kepada web. Manakala W3C terkenal dengan standard piawai xHTML versi 2.0. Akhirnya pada tahun 2006, kedua-dua syarikat gergasi ini telah bercadang dan merancang untuk bekerjasama mengeluarkan satu versi terbaru iaitu HTML5 yang mana merupakan gabungan antara HTML4 dan juga xHTML2.

Beberapa aturan terbaru yang diperkenalkan adalah:

  • semua fungsi upaya laman perlu berlandaskan kepada HTML, CSS, DOM dan Javascript
  • pengurangan penggunaan media luaran seperti Flash
  • pengendalian ralat yang lebih baik
  • penggunaan "markup" bagi menggantikan kod aturcara
  • HTML5 boleh dibaca dan dilancarkan dalam apa jua peranti
  • pembangunan laman adalah secara sumber terbuka

Fungsi terbaru yang diperkenalkan

Beberapa fungsi yang terbaru dan agak menonjol dalam versi ini adalah:

  • penggunaan elemen "canvas" untuk tujuan lukisan grafik
  • elemen pemain media untuk video dan audio
  • keupayaan untuk menyokong penghasilan laman secara luar talian (offline)
  • penggunaan elemen yang lebih spesifik seperti "article", "footer", "nav" dan "header"
  • kawalan elemen borang seperti "calendar", "date", "time", "email" dan "search"

Perisian pelayar web yang menyokong

Buat masa sekarang, masih belum ada sebarang pelayar web yang menyokong sepenuhnya penggunaan HTML5 memandangkan ianya masih lagi ditahap pembinaan.

Namun, sokongan besar telah diberikan oleh perisian pelayar web seperti Safari, Firefox, Opera, Internet Explorer dan Chrome untuk mengimplementasikan HTML5 pada versi-versi yang akan datang.

Penilaian: 
No votes yet