Sebelum anda meneruskan proses untuk memasang atau menaik taraf Drupal 7, beberapa keperluan sistem perlu dipastikan terlebih dahulu. Ini bagi membolehkan Drupal 7 dipasang tanpa mengalami sebarang masalah. Keperluan di bawah dinyatakan untuk versi minimum dan dicadangkan (untuk prestasi D7 yang optimum).

Ruangan storan

Bagi pemasangan D7 sahaja, sebanyak 3MB ruangan storan diperlukan. Keperluan ini akan meningkat apabila pemasangan modul tambahan, penambahan bilangan fail dimuat naik dan templat. Ruangan storan akan cepat bertambah sehingga 40MB (tidak termasuk fail-fail media dan pangkalan data).

Jenis pelayan

Drupal menyokong penuh jenis pelayan Apache dan IIS.

Apache (disarankan)

  • Menyokong versi Apache 1.3 atau Apache 2.x yang dihoskan di Linux/UNIX atau Microsoft. Kebanyakan pembangun Drupal menggunakan jenis pelayan ini
  • sambungan "mod_rewrite" disarankan untuk mendapat paten URL yang lebih baik

Microsoft IIS

  • Menyokong IIS 5, IIS 6 atau IIS 7 sekiranya PHP diselenggara dengan sempurna
  • untuk mendapatkan paten URL bersih, modul tambahan ketiga perlu dipasang kecuali untuk IIS7 yang didatangkan dengan Microsoft URL Rewrite Module.

Pemasangan Drupal 7 mengambil ruangan sekitar 8 hingga 10MB dalam bentuk tidak dipadatkan.

Pangkalan data

MySQL (disarankan)

D7 hanya disokong oleh MySQL 5.0.15 atau yang lebih tinggi. Sambungan modul PDO diperlukan untuk PHP. Ini adalah satu keperluan yang baru dalam semua versi keluaran Drupal.

PDO adalah singkatan daripada PHP Data Object. PDO membolehkan akses ke pangkalan data dilakukan dengan lebih lancar dan konsisten. Ia boleh dianggapkan sebagai satu API (Application Programming Interface) yang membenarkan pihak pembangun mengakses data-data dari pangkalan data dengan lebih mudah.

Bagaimana mengaktifkan PDO

Anda boleh memeriksa pengehosan web sekarang sudah mengaktifkannya atau tidak menerusi pemeriksa phpinfo() dan periksa pada bahagian "Configuration command" sama ada mempunyai --enable-pdo atau --with-pdo_sqlite atau --with_pdo_mysql atau apa jua penanda yang mempunyai PDO. (maklumat lanjut mengaktifkan PDO)

ATAU

Anda boleh mencuba nasib dengan mengaktifkan PDO tersebut secara manual dari akaun hos.

  1. Hasilkan satu fail dengan nama php.ini (sekiranya belum ada, atau sunting fail yang sedia ada)
  2. Seterusnya tambahkan baris kod di bawah ini ke dalam fail tersebut. Simpan dan cuba lakukan pemasangan Drupal 7.
extension=pdo.so
extension=pdo_sqlite.so
extension=sqlite.so
extension=pdo_mysql.so

Sekiranya penghasilan fail php.ini tidak mengubah apa-apa fungsi dalam pelayan, cuba namakan dengan php5.ini.

Atau tambahkan kod suPHP_ConfigPath ~/public_html ke dalam fail .htaccess untuk memaksa sistem pelayan menggunakan konfigurasi fail php.ini yang kita tetapkan.

PHP

Ini adalah paling penting kerana keseluruhan aturcara Drupal ditulis dalam bahasa PHP.

  • Versi disarankan: PHP 5.3 dan ke atas
  • Keperluan minimum: PHP 5.2.5 dan ke atas.
  • Namun begitu terdapat banyak konflik dan masalah yang dikeluarkan oleh modul tambahan memandangkan mereka masih belum serasi dengan PHP 5.3.

Had minimum ingatan PHP adalah 32MB untuk menjalankan D7. Sekiranya laman mengalami masalah seperti WSOD atau pemprosesan tergantung, tingkatkan ingatan kepada 64MB. Bagi mendapat tahap kestabilan (untuk laman menjalankan pemprosesan gambar), had minima ingatan boleh disetkan kepada 96MB.

Untuk capaian data yang lebih baik, modul sambungan mysqli disarankan berbanding mysql sahaja (anda perlu merujuk kepada pihak pengehosan untuk maklumat lanjut).

Pastikan juga modul GD library diaktifkan untuk membolehkan aktiviti memproses gambar-gambar dilakukan. Sesetengah pihak pengehosan mungkin menyediakan ImageMagick berbanding GD yang menyediakan fungsi yang sama.

Perisian pelayar

Sehingga kini, Drupal 7 menyokong pelbagai jenis pelayar termasuklah:

  • Internet Explorer 6.x dan ke atas
  • Firefox 2.x dan ke atas
  • Opera 7 dan ke atas
  • Safari 1.x dan ke atas
  • Camino 1.x dan ke atas
  • Google Chrome

Jadi anda tidak perlu risau mengenai keperluan tertentu yang perlu dimiliki oleh pengguna yang lain untuk melawat laman berasaskan Drupal.

Penilaian: 
3
Average: 2.5 (2 votes)