URL atau pautan adalah perkara terpenting untuk sebuah laman web dan bukan sahaja untuk Drupal. Walau bagaimanapun dalam Drupal, URL untuk sesuatu halaman digunakan untuk menentukan bagaimana ianya dibina.

Uniform Resource Locater (URL) merupakan alamat untuk halaman tertentu seperti yang dapat kita lihat di bahagian atas pelayar bermula dengan "http:". Bagi laman statik, URL merupakan laluan kepada satu-satu fail dalam sebuah mesin pelayan. Berbalik kepada Drupal (atau lain-lain sistem pengurusan kandungan atau sistem kerangka) satu URL membawa fungsi yang lebih banyak.

Ianya boleh mengandungi set arahan yang mengarah program atau sistem itu menjalankan sesuatu output apabila arahan diterima. Dalam artikel ini, kita akan mengenali dengan lebih dekat kendalian URL dalam Drupal.

Laluan dalaman (Internal Path)

Kebanyakan item dalam Drupal boleh dicapai melalui dua laluan yang berbeza iaitu laluan dalam atau satu/lebih URL alias yang lebih mesra pengguna. Laluan dalaman untuk sebarang kandungan diterjemahkan dalam bentuk node/<node_id>. Dengan menambah nama domain dihadapannya, kita akan memperoleh URL penuh. Sebagai contoh, kandungan ini mempunyai ID node 2919 maka laluan dalaman adalah node/2919. Ini menjadikan URL penuh adalah http://example.com/node/2919.

Penggunaan modul Views membenarkan kita untuk mentakrifkan sebarang laluan dalaman untuk halaman yang dicipta. Perlu diambil perhatian adalah sebarang URL yang dicipta melalui Views akan mengatasi sebarang laluan yang dihasilkan oleh sistem. Oleh itu, pastikan URL yang dipilih adalah spesifik untuk kegunaan laman kita sahaja.

Modul-modul lain mentakrifkan laluan spesifik untuk output masing-masing. Sebagai contoh, modul taksonomi menyediakan laluan dalaman taxonomy/term/<term_id>. Sekiranya laman Drupal itu tidak melakukan sampukan pembatal (overrides) melalui modul Views, halaman taksonomi boleh dipaparkan menerusi pautan http://example.com/taxonomy/term/13.

Kebanyakan modul dalam Drupal menyediakan laluan dalamannya tersendiri untuk akses ke halaman tetapan atau halaman output mereka.

URL Mesra Pengguna atau Alias

Modul Path membenarkan kita untuk menghasilkan sebarang laluan kepada sistem laluan dalaman, atau dengan gabungan modul Pathauto dan Token untuk memandu penghasilan URL secara automatis berdasarkan kepada skema dan paten yang ditetapkan untuk sebarang aspek kandungan. URL mesra pengguna ini juga dikenali sebagai alias.

Dalam kebanyakan laman web pada hari ini banyak menggunakan paten seperti berikut: [vocab-raw]/termpath-raw]/[title-raw]. Apa yang akan dilakukan oleh sistem Drupal adalah menghasilkan struktur URL berdasarkan kepada tag yang digunakan pada setiap kandungan. Sebagai contoh, vocabulory yang digunakan adalah Jabatan dan term pula adalah Perakaunan.

Modul ini akan menukarkan ejaan setiap satu kepada huruf kecil kemudian menggantikan bahagian paten yang ditetapkan dengan nilai yang digunakan pada kandungan tersebut. Oleh itu, apabila satu kandungan bertajuk "Permohonan Pinjaman" dihantar, sistem akan menetapkan URL dalaman sebagai node/443. Seterusnya modul Pathauto dengan menggantikan semua Token kepada nilai asal menjadikannya jabatan/perakaunan/permohonan-pinjaman.

URL sebegini lebih mesra pengguna dan mesra agen carian. Secara kasarnya melalui URL sahaja kita sudah mengetahui bahawa kandungan ini akan menceritakan berkenaan dengan permohonan pinjaman di bawah Jabatan Perakaunan.

Ianya tidak terhad kepada bentuk, skema atau paten ini sahaja. Kita boleh mencipta sendiri paten yang diperlukan berdasarkan kepada token yang disediakan oleh modul Token.

URL untuk tetapan paparan blok

Selain daripada fokus kepada agen carian, Drupal menggunakan URL lebih daripada sekadar untuk capaian kandungan. Sistem blok (kandungan sampingan) bergantung sepenuhnya kepada struktur URL yang terbina, sama ada URL dalaman atau URL alias digunakan dalam kawalan paparannya.

Sebagai contoh, katakan kita ingin memaparkan menu yang khas pada paparan yang diakses dan dilihat oleh pengguna, penggunaan skema URL yang bijak boleh membantu menyenangkan proses ini. Jika kita lihat pada laman web ini sendiri, setiap bahagian atau tajuk utama kandungan mempunyai blok kandungan disebelah kanan yang berbeza. Kawalan paparan setiap blok ini dirujuk kepada struktur URL alias yang terbina.

Kandungan ini diletakkan di bawah kategori Drupal 7 dan paparan menu blok dirujuk kepada drupal-7/<tajuk artikel>.

Permasalahan paparan blok

Sekiranya anda melihat kombinasi blok yang dipaparkan tidak seperti yang dijangka, beberapa teknik penyelesaian perlu dilakukan. Pertamanya kita perlu melihat kepada struktur URL yang dipaparkan pada perisian pelayar. Kemudian kita semak konfigurasi blok tersebut sama ada ianya merujuk kepada nama atau struktur skema yang betul atau tidak.

Ada kemungkinan terma-terma yang digunakan sebelum ini mempunyai penamaan yang sama dengan kondisi yang kita gunakan sebagai bentuk kawalan paparan. Dengan cara ini, kita boleh menamakan semula struktur yang dijanakan secara automatis kepada paten atau token berlainan.

Penggunaan Redirect

Terdapat satu modul yang berfungsi melakukan lencongan berdasarkan kepada struktur URL iaitu Path Redirect. Modul ini berfungsi untuk mengarahkan pengguna dari lokasi asal ke lokasi yang berlainan berdasarkan kepada struktur URL.

Andaikan kita mempunyai satu kandungan yang diakses melalui URL "berita/terbaru/drupal-7". Selepas lebih kurang setahun kandungan ini bertapak, kita ingin mengubahnya kepada URL yang berlainan, katakan "berita/arkib/drupal-7".

URL yang telah lama kemungkinan besar telah didaftarkan dengan agen carian. Sekiranya URL yang lama dijenamakan semula akan mengakibatkan kandungan tidak ditemui akibat URL yang bertukar. Modul Path Redirect berfungsi akan melencongkan pengguna yang melawat URL lama terus ke URL baru tanpa melibatkan sebarang risiko pautan tidak sah, laman tidak ditemui atau duplikasi kandungan.

Penilaian: 
1
Average: 1 (1 vote)