Dalam kes ini terdapat dua golongan yang berminat kepada tajuk kandungan anda. Yang pertama adalah enjin carian yang akan menggunakan tajuk kandungan untuk membantu mereka mendalami dan menentukan kategori kandungan laman. Kedua adalah pembaca/pengunjung yang melihat tajuk kandungan untuk membantu mereka sama ada laman web anda menepati pencarian isi kandungan yang dikehendaki. Tambahan mereka mungkin menggunakan fungsi tandaan (bookmark) sekiranya berminat. Tajuk kandungan yang sempurna meliputi kedua-dua golongan sasaran ini.
Sekarang, perkara yang penting perlu anda lakukan adalah menggunakan dan memasukkan seberapa banyak kata kunci yang penting dalam hasil kerja anda. Apa yang pembaca cari untuk mendapatkan maklumat daripada kandungan anda? Antara kata kunci yang menarik untuk ditunjukkan sebagai contoh adalah pembinaan laman web. Sungguhpun begitu, kata kunci ini mempunyai persaingan yang sangat tinggi kerana terdapat ribuan malahan jutaan laman menggunakan kata kunci tersebut.
Jadi, kita anggapkan kata kunci ini adalah yang terbaik dalam keseluruhan isi kandungan laman. Dan anda telah menggunakannya dalam beberapa halaman web dan sistem Drupal anda. Sekiranya kita teruskan dengan cara ini, tidak akan menimbulkan sebarang masalah tetapi anda terlepas untuk menggunakan sepenuhnya kelebihan tajuk kandungan. Sebagai contoh, saya ambil satu tajuk artikel:
Tutorial pembinaan laman web Drupal
Tajuk di atas sangat sesuai kepada enjin carian tetapi tidak kepada pembaca. Sememangnya mereka tahu bahawa kandungan tersebut berkaitan pembinana laman web menggunakan Drupal. Tetapi mereka tidak tahu apakah laman web yang menyediakan kandungan tersebut. Kita mahu pembaca sentiasa mengingati laman web kita. Jadi, kita ubah seperti ini:
Kripkorn Studios | Tutorial pembinaan laman web Drupal
Nampaknya sekarang cukup bagus untuk memaklumkan kepada pembaca mengenai laman web kita. Namun perhatikan bahawa kita telah memindahkan kata kunci penting ke belakang. Enjin carian mengindeks kata kunci penting pada bahagian hadapan terlebih dahulu. Oleh itu kita ubah sedikit lagi
Ikuti tutorial pembinaan laman web Drupal di Kripkorn Studios
Sekarang kita optimumkan kata kunci "Ikuti" secara tidak sedar. Ini tidak bagus. Bagaimana kalau kita ubah sedikit lagi:
Tutorial pembinaan laman web Drupal oleh Kripkorn Studios
Cemerlang. Kata kunci yang penting berada di hadapan dan diikuti dengan laman web yang menyediakan kandungan tersebut. Tajuk tersebut membolehkan kedua-dua golongan memahami dengan sepenuhnya. Anda juga boleh menggantikan tanda pemisah seperti "|" atau "," untuk perkataan oleh.
Setiap halaman dalam sistem Drupal anda seharusnya mempunyai tajuk yang unik. Sekiranya tajuk yang sama diguna berulang kali pada halaman berlainan, beberapa perkara buruk mungkin berlaku:
- Anda bersaing dengan laman web sendiri untuk kata kunci terpilih
- Anda mengelirukan enjin carian dengan mewujudkan dua kandungan yang sama secara tidak langsung
- Anda dikenakan penalti untuk duplikasi kandungan
- Anda tidak menjalankan komunikasi berkesan kepada golongan pembaca.
Semua perkara ini BOLEH berlaku dalam Drupal. Namun anda tidak perlu risau kerana terdapat beberapa modul dan konfigurasi yang akan menjaga dan membantu untuk mengatasi masalah ini.