Dalam menghasilkan atau mengubahsuai tema dalam Drupal, terdapat tiga peringkat yang ditetapkan. Anda boleh memilih untuk bermula dari peringkat baru, pertengahan atau pakar.

Templat: Peringkat baru

Sekiranya ini merupakan laman Drupal anda yang pertama dan tidak mempunyai kemahiran dalam CSS dan pengubahsuaian tema sebelum ini, dinasihatkan untuk anda memasang tema-tema dan templat yang disediakan di laman-laman yang menyediakan.

Antara pilihan yang boleh digunakan adalah seperti ini:

  1. Templat percuma di Drupal.org
  2. Templat percuma dan berbayar di Drupal themes
  3. Templat yang unik dan berlainan yang dihasilkan oleh pereka laman

Sesetengah templat yang dimuat turun menyediakan pilihan pengubahsuaian secara penetapan melalui sistem aturcara dan pangkalan data. Jadi anda tidak perlu mempunyai pengetahuan dalam CSS untuk melakukan perkara seperti menukar warna laman, menghasilkan 3 ruangan paparan dan sebagainya.

Templat utama Drupal iaitu Garland menyokong modul "Color" yang membolehkan anda menetapkan warna-warna laman secara terus dari ruangan administrasi templat tanpa mengubahsuai kod-kod CSS.

Templat: Peringkat pertengahan

Sekiranya anda dalam proses untuk mempelajari CSS dalam pembinaan satu-satu laman:

Firebugs, Developer Tools alat paling membantu dalam membina CSS

  • Mulakan langkah dengan mengambil sebarang contoh templat yang terdapat dalam pemasangan asal Drupal. Menggunakan fungsi "Firebugs" atau "Developer Tools" yang didatangkan secara tambahan pada pelayar laman (web browser) anda, kenal pasti nama dan ID untuk CSS templat tersebut.
  • Mulakan eksperimen dengan mengubahsuai setiap elemen tertentu di "Firebugs" terlebih dahulu untuk melihat hasilnya. Seterusnya dengan membuka fail CSS (.css) dalam direktori templat, tambahkan elemen ID tersebut dibahagian paling bawah.
  • Dengan cara ini kita akan menulis tindih tetapan CSS yang telah dilakukan sebelum ini. Melalui cara ini penetapan asal tidak terusik. Setelah anda mendapat gambaran penuh elemen dan pengubahsuaian, mulakan pengubahsuaian sebenar dengan melakukannya pada sub-direktori agar templat yang asal tidak terusik. Ini bagi memudahkan proses naik taraf templat tersebut dilakukan tanpa menyentuh pengubahsuaian yang telah dilakukan sebelum.
  • Teknik ini juga boleh diguna pakai pada pelantar sistem yang lain seperti phpBB, Joomla!, Wordpress.

Templat: Peringkat pakar

Sekiranya anda sememangnya mahir dalam CSS dan pengubahsuaian templat sebelum ini:

  • Peringkat yang dinyatakan di atas boleh dilakukan dalam masa yang lebih pantas.
  • Proses penghasilan templat Drupal bermula dari titik kosong. Seterusnya templat tersebut akan digunakan pada pelantar Drupal bagi tujuan paparan maklumat laman.
  • Menghantar kepada Drupal.org untuk dijadikan sebagai sumbangan kepada dunia "Open Source".
Penilaian: 
No votes yet